Selasa, 2 Mei 2017 | 5:47pm

Negara pengeksport minyak Asia Barat perlu pembaharuan: IMF

DUBAI: Negara pengeksport minyak di Asia Barat terus menerima subsidi tenaga terbesar dan reformasi tambahan diperlukan bagi membendung perbelanjaan kerajaan, demikian menurut Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF).

Dalam laporan tinjauan serantau terkini, IMF berkata wang yang dibelanjakan setiap tahun ke atas subsidi di negara terbabit susut daripada AS$190 bilion (RM822.04 bilion) pada 2014 kepada anggaran semasa AS$86 bilion (RM372.08 bilion) setahun. Angka itu masih lagi besar.

Ini sebahagian besarnya disebabkan kejatuhan harga minyak dunia sejak pertengahan 2014, apabila harga menokok melepasi AS$100 satu tong.

Penyusutan pendapatan minyak memaksa kerajaan berbelanja secara berhemah, terutama di Negara Teluk yang mana rakyatnya sudah biasa dengan pelbagai subsidi dan pekerjaan selesa di sektor awam.

Merentas Asia Barat, negara pengeksport minyak berupaya mengurangkan bajet defisit secara keseluruhan kepada anggaran AS$375 bilion (RM1.62 trilion) untuk tempoh lima tahun antara 2016 dan 2021, turun daripada unjuran tahun lalu pada defisit AS$565 bilion (RM2.44 trilion).

Bagi mengurangkan perbelanjaan, enam Negara Teluk iaitu Arab Saudi, Kuwait, Qatar, Bahrain, Oman dan UAE melaksanakan langkah penjimatan yang sensitif, termasuk menarik balik subsidi, seperti ke atas minyak dan elektrik.

Bagaimanapun, peningkatan kecil harga minyak daripada AS$42 satu tong pada 2016 kepada unjuran AS$55 satu tong pada 2017, membantu mengurangkan defisit negara terbabit kepada AS$240 bilion (RM1.04 trilion), daripada unjuran 2016 pada AS$350 bilion (RM1.51 trilion).

Laporan IMF menyebut 6.5 juta rakyat akan memasuki alam pekerjaan menjelang 2022 di Negara Teluk, Iran dan Algeria.

Ini bermakna negara terbabit amat perlu mewujudkan lebih banyak pekerjaan di sektor swasta. - AP

Berita Harian X