Selasa, 18 April 2017 | 10:27pm

SP Setia dapat projek RM847.6 juta di Singapura

KUALA LUMPUR: Pemaju hartanah, SP Setia Bhd Group, menerusi anak syarikat SP Setia International (S) Pte Ltd, memperoleh tender daripada Pihak Berkuasa Pembangunan Semula Bandar Singapura membabitkan pembangunan tapak Toh Tuck Road di republik itu.

Dalam satu kenyataan hari ini, SP Setia berkata kejayaan unitnya membuat bidaan bagi pembangunan tapak bernilai S$265 juta (kira-kira RM847.6 juta) bagi kawasan pada harga S$939 setiap kaki persegi dengan keluasan lantai kasar (GFA) 1.87 hektar.

"Tapak itu akan dibangunkan kepada sebuah kondominium lima tingkat dengan GFA sebanyak 26,210 meter persegi membabitkan nilai pembangunan kasar (GDV) S$457 juta (RM1.4 bilion).

"Pembelinya boleh menunggu pelancarannya pada 2018," katanya.

Ketua Pegawai Operasi SP Setia, Datuk Wong Tuck Wai, berkata kondominium lima tingkat itu akan terus memaparkan kekuatan SP Setia dalam pembangunan bertemakan alam sekitar.

"Ia kondominium berkonsep baharu dengan kemudahan ala penginapan serta landskap bertema yang memberi persekitaran serba menarik untuk penghuninya," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X