Jumaat, 14 April 2017 | 6:43pm

Pos Laju sasar jualan RM1b dalam 2 tahun

KETUA Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Berhad, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh (berdiri dua kanan) bersama Ketua Pegawai Komersil Kumpulan Pos Malaysia Berhad, Nor Azizan Tarja (berdiri kanan) dan Ketua Kurier Pos Malaysia Berhad, Zumy Zuheidy (berdiri kiri) bersama pemenang di Majlis Penyampaian Hadia Peraduan Pos Laju Prepaid Craze dan Perasmian Pos Laju Kiosk di Kenaga Wholesale City. - Foto Salhani Ibrahim

KUALA LUMPUR: Cabang kurier Pos Malaysia Bhd (Pos Malaysia), Pos Laju, menyasar jualan penghantaran bungkusannya mencecah RM1 bilion dalam tempoh dua tahun akan datang.

Ketua Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh, berkata jumlah itu dijangka diperoleh menerusi penghantaran 100 juta bungkusan dengan purata harga RM10 bagi setiap bungkusan.

Beliau berkata, tahun lalu Pos Laju membuat penghantaran 70 juta bungkusan dalam tempoh setahun.

"Kami yakin sasaran 100 juta bungkusan boleh dicapai memandangkan Pos Laju terus mencatat peningkatan dalam jumlah penghantaran.

"Bagi memastikan pelanggan terus menikmati kemudahan yang ditawarkan Pos Laju, pihak kami mengambil beberapa inisiatif untuk menambahbaik perkhidmatan. Antaranya termasuk menaiktaraf sistem pengesanan bungkusan kepada masa sebenar.

"Selain itu, Pos Laju juga melancarkan Kios Pos Laju pada 18 Februari lalu sebagai sebahagian misinya untuk menyediakan lebih banyak kemudahan dalam segmen e-dagang.

"Lebih membanggakan, jumlah jualan yang dicatat menerusi perkhidmatan kios itu sejak ia dilaksanakan adalah sebanyak RM79,300," katanya pada majlis pengumuman pemenang Peraduan Pos Laju Prepaid Craze di sini, hari ini.

Empat pemenang hadiah utama bernilai RM6,000 dan seorang pemenang hadiah bonanza bernilai RM9,000 terpilih menerima Baucer Penghantaran Prabayar Pos Laju.

Shukrie berkata, penganjuran peraduan itu bertujuan mendekati, mengekalkan dan memberi ganjaran kepada pelanggan setia Pos Laju.

"Ia sebahagian strategi kami untuk menggalakkan pelanggan terus membeli dan menggunakan produk serta perkhidmatan Pos Laju termasuk kotak prabayar, bungkusan, pelekat prabayar," katanya.

Sementara itu, Pos Laju juga menyasar untuk menambah 15 lagi Kios Pos Laju di beberapa bandar utama menjelang tahun depan.

Berita Harian X