Jumaat, 7 April 2017 | 4:01pm

eHalal.com sasar lebih banyak penyertaan pembekal

KUALA LUMPUR: eHalal.com, platform halal global setempat, menyasar lebih ramai pemain industri berkaitan akan mendaftarkan syarikat dengannya.

e-Halal.com, yang dilancarkan pada Mei 2016, kini mempunyai kira-kira 2,000 pembekal barangan dan perkhidmatan halal yang mendaftar di pangkalan datanya.

Eksekutif Pembangunan Perniagaannya, Farhizad Salleh, berkata syarikat yang mendaftar akan dapat mempromosikan produk halal mereka melalui eHalal.com pada pelbagai platform, untuk pasaran global.

"Kami boleh membantu mempromosikan produk pembekal pada pelbagai acara di mana kami akan membawa bersama risalah, malah produk mereka untuk dipamerkan di gerai kami. Kami juga melakukan promosi di laman web dan platform media sosial kami.

"Kami mempunyai beberapa pakej promosi dan pembekal juga boleh memohon untuk menggunakan logo eHalal bagi tujuan pemasaran mereka," katanya.

eHalal.com adalah inisiatif di bawah Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC).

Ia berfungsi sebagai direktori halal global setempat, yang membolehkan dan melindungi pengeluar barangan dan perkhidmatan halal mencapai dunia e-dagang dan mengembangkan perniagaan mereka di seluruh dunia.

Menurut laman webnya, eHalal.com membolehkan pembekal produk dan perkhidmatan halal memaparkan maklumat mengenai syarikat mereka, pensijilan yang berkaitan, produk dan produk pakej.

Maklumat berkenaan kemudian dikongsi dengan semua rakan kongsi dan sekutu e-dagang eHalal, untuk memaksimumkan jangkauan dan pendedahan kepada bakal pembeli di seluruh dunia.

Farhizad berkata, eHalal.com, yang merancang untuk melebarkan sayap ke pasaran global, telah membuka cawangan di Indonesia dan China, yang mempunyai pasaran lebih besar bagi memenuhi keperluan pengguna mereka.

Bagi Indonesia, beliau berkata eHalal telah bekerjasama dengan Kamar Dagang dan Industri Indonesia, organisasi di bawah persatuan dan dewan perniagaan Indonesia.

"Kami mempunyai pasukan khas bagi Indonesia dan China untuk menguruskan laman web tempatan kami. Pengunjung eHalal.com dengan alamat IP berhampiran dengan kedua-dua negara akan diminta ke laman web masing-masing.

Bagaimanapun mereka masih boleh melihat laman web utama dengan hanya dengan satu klik pada logo eHalal," katanya.

Pendaftaran dalam direktori eHalal.com adalah percuma dan syarikat diperlukan memberikan maklumat, sijil pendaftaran perniagaan, sijil halal dan dokumen yang berkaitan. - BERNAMA

Berita Harian X