X
Selasa, 21 March 2017 | 3:25pm

Industri aeroangkasa Malaysia dijangka meningkat 7.0 peratus

MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen Memorandum Persafahaman (MoU) antara Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Composites Technology Research Malaysia (CTRM), Shamsuddin Mohamed Yusof (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Hicom University College (HUC), Dr Gary James Clayton sempena Pelancaran Laporan Pelan Induk Industri Aeroangkasa Malaysia 2017 di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) hari ini. - Foto BERNAMA
MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen Memorandum Persafahaman (MoU) antara Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Composites Technology Research Malaysia (CTRM), Shamsuddin Mohamed Yusof (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Hicom University College (HUC), Dr Gary James Clayton sempena Pelancaran Laporan Pelan Induk Industri Aeroangkasa Malaysia 2017 di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) hari ini. - Foto BERNAMA

LANGKAWI: Industri aeroangkasa Malaysia dijangka meningkat sebanyak tujuh peratus tahun ini, didorong permintaan memberangsangkan terhadap pesawat dari negara Asia khususnya China dan India.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata segmen pembuatan aero yang juga bahagian utama dalam industri berkenaan di Malaysia, disasarkan menyumbang 55 peratus kepada nilai keseluruhan industri berkenaan, tahun ini.

"Pendapatan industri penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) akan terus meningkat, khususnya dalam segmen enjin dan komponen dengan sasaran pendapatan sebanyak RM6 bilion.

"Pertumbuhan industri itu akan mewujudkan 1,500 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan laporan perkembangan Pelan Induk Industri Aeroangkasa Malaysia 2030 di sini, tadi.

Mustapa turut menyaksikan pertukaran lapan dokumen memorandum persefahaman dan perjanjian antara pelbagai penggiat industri, termasuk pihak asing.

Ini termasuk anak syarikat DRB-Hicom Bhd, Composite Technology and Research Malaysia Sdn Bhd yang memeterai dokumen itu dengan pelbagai pihak termasuk Hicom University College bagi kerjasama umum pembangunan modal insan dan penyelidikan produk.

Mustapa berkata, banyak syarikat automotif serta minyak dan gas sudah mula menceburi industri aeroangkasa yang menunjukkan potensi pertumbuhan kukuh sektor itu, sekali gus menarik penggiat industri lain.

Beliau berkata, 10 syarikat dengan potensi pelaburan kira-kira RM1 bilion, menyatakan minat mereka untuk melabur di Malaysia.

Pada tahun lalu, sebanyak sembilan projek aeroangkasa membabitkan pelaburan sebanyak RM1.6 bilion diluluskan iaitu RM673.9 juta disumbangkan oleh pelabur domestik manakala pelabur asing sebanyak RM889.4 juta.

Pelaburan itu dijangka dapat menjana sejumlah 1,766 peluang pekerjaan. Selain itu, eksport industri aeroangkasa Malaysia pada tahun lalu meningkat sebanyak 32.6 peratus kepada RM5.53 bilion dengan sebahagian besar disumbangkan oleh segmen aeroangkasa dan komponen.

Pengimportan pesawat, bahan mentah dan alat ganti pula berjumlah RM11.94 bilion, kebanyakannya didorong oleh pengembangan kapasiti dan penggantian di sektor penerbangan. - BERNAMA

Berita Harian X