Khamis, 16 March 2017 | 6:00am
EXCHANGE Centre di Sydney.
EXCHANGE Centre di Sydney.

KWAP tawar jual hartanah Australia A$300j

EXCHANGE Centre di Sydney.
EXCHANGE Centre di Sydney.

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) atau KWAP sudah mengemukakan tawaran untuk menjual bangunan Exchange Centre di Sydney, Australia pada harga lebih A$300 juta (RM1.01 bilion).

Sumber berkata, pengurus dana persaraan kedua terbesar negara dengan jumlah aset mencecah RM129.9 bilion itu, sudah melantik tiga Jururunding Hartanah Savill Australia iaitu Simon Fenn, Ian Hetherington dan Ben Azar untuk mengurus penjualan berkenaan, selain daripada Investa Property Group sebagai penasihat urus niaga.

Baru-baru ini, akhbar The Australian melaporkan, spekulasi pasaran ketika ini adalah Exchange Centre yang menempatkan bursa saham Australian Securities Exchange (ASX) itu, berpotensi meraih jualan hingga A$325 juta (RM1.09 bilion).

"Jika penjualan itu menjadi kenyataan, KWAP akan meraih keuntungan dari segi peningkatan harga hartanah dan tukaran asing susulan penurunan nilai ringgit sejak akhir tahun lalu, lebih RM400 juta.

"Tawaran jualan itu pasti menarik perhatian pelabur hartanah kerana 96 peratus daripada ruangnya mempunyai penyewa," kata sumber kepada BH.

Pegawai KWAP yang dihubungi bagaimanapun enggan mengulas.

Exchange Centre atau 20 Bridge Street, Sydney adalah satu daripada empat bangunan pejabat milik KWAP di Australia yang dibeli pada 2011 pada harga A$185 juta (RM526 juta). Ia adalah bangunan pejabat 13 tingkat dengan keluasan lantai 20,329 meter persegi.

Tiga lagi bangunan pejabat milik KWAP di negara itu adalah 737 Bourke Street dan 747 Collins Street di Melbourne serta 179 Turbot Street di Brisbane.

Ketua Eksekutif KWAP, Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad, dalam satu pertemuan dengan BH baru-baru ini, berkata dana itu kini giat mempelbagai pelaburan bagi menjana sasaran pulangan sebanyak 5.5 peratus pada tahun ini. Pada tahun lalu, tabung pencen kakitangan awam itu berupaya menjana pulangan pelaburan 5.33 peratus.

Keperluan mempelbagaikan pelaburan menjadi keutamaan bagi sesebuah dana awam seperti KWAP ketika kadar pulangan daripada instrumen pendapatan tetap menjana hasil sederhana ekoran kadar faedah yang kekal rendah.

Dari segi peruntukan aset, setakat 31 Disember 2016, 51.8 peratus adalah dalam pendapatan tetap; 37.9 peratus dalam ekuiti; 5.0 peratus dalam pelaburan alternatif, termasuk pelaburan dalam hartanah dan ekuiti swasta; manakala baki 5.0 peratus lagi simpanan dalam bentuk tunai.

Daripada keseluruhan peruntukan itu, bahagian pelaburan di dalam negara adalah 88.4 peratus, manakala baki 11.6 peratus adalah pelaburan di luar negara.

Wan Kamaruzaman berkata, pulangan terbesar dari segi peratusan yang diraih pada tahun lalu adalah daripada pelaburan di luar negara yang mana memberi keuntungan 15 peratus.

Hartanah KWAP di Australia:

* Exchange Centre 20 Bridge Street, Sydney (bangunan pejabat 14 tingkat)

* 737 Bourke Street, Melbourne (bangunan pejabat 12 tingkat)

* 747 Collins Street, Melbourne (bangunan pejabat 16 tingkat)

* 179 Turbot Street, Brisbane (bangunan pejabat 25 tingkat)

* 133 Lenore Drive, Erskine Park, Sydney (bangunan logistik)

* 1 Griffin Crescent, Brendale, Queensland (bangunan logistik)

* 38-46 Bernera Road, Prestons, Sydney (bangunan logistik)

* 145 Lenore Drive, Sydney Australia (tanah pembangunan)

Berita Harian X