Rabu, 15 March 2017 | 4:40pm

Arab Saudi komited stabilkan pasaran minyak

RIYADH: Arab Saudi komited untuk menstabilkan pasaran minyak global, kata menteri tenaga bagi negara pengeksport minyak terbesar dunia itu, semalam, selepas harga minyak jatuh di bawah AS$48 setong.

Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan bukan OPEC tahun lalu berjanji untuk mengurangkan pengeluaran kepada sekitar 1.8 juta tong sehari (bpd) sebagai usaha serius untuk membendung lebihan bekalan minyak global.

Arab Saudi "komited dan nekad untuk menstabilkan pasaran minyak global dengan bekerja rapat dengan pengeluar OPEC dan bukan OPEC"," kata menteri tenaganya dalam satu kenyataan.

Laporan OPEC yang dikeluarkan semalam menunjukkan Arab Saudi mencatatkan kenaikan dalam pengeluaran minyak pada Februari, dengan mencatatkan jumlah pengeluaran 10.011 juta bpd bulan lalu, naik kepada 9.748 juta bpd daripada Januari.

Namun, menteri tenaga itu berkata, jumlah minyak mentah yang dibekalkan ke pasaran untuk Februari hanya 9.9 juta bpd, turun 9.99 peratus berbanding Januari.

"Perbezaan terbabit adalah susulan pasaran yang memantau paras pengeluaran berbanding paras pembekalan sebenar setiap bulan, disebabkan faktor operasi yang dipengaruhi pelarasan storan dan pemboleh ubah berbeza untuk setiap bulan," katanya.

Menteri Minyak Kuwait, Essam al-Marzouk, yang juga ketua jawatankuasa bagi memantau usaha menurunkan pembekalan minyak mentah, berkata pembabitan OPEC untuk mengurangkan bekalan sudah pun melangkaui sasaran susulan pengurangan lebih tinggi Arab Saudi, namun pembabitan bukan OPEC masih di tahap sederhana. - AFP

Berita Harian X