Isnin, 13 March 2017 | 10:22am

Harga minyak susut ke paras terendah

gn4id:19141105

HARGA minyak susut ke paras terendah dalam tempoh tiga bulan hari ini walaupun OPEC terus berusaha untuk mengekang pengeluaran.

Bagaimanapun, langkah itu masih tidak berjaya menstabilkan harga minyak kerana pengeluar Amerika Syarikat (AS) AS yang terus meningkatkan jumlah pelantar minyak.

Minyak mentah Brent susut 42 cents atau 0.82 peratus ke paras terendah sejak 30 November iaitu AS$50.95 setong. Ia menutup sesi terdahulu dengan penyusutan sebanyak 1.6 peratus kepada AS$51.37 setong.

Minyak mentah WTI AS juga susut 50 cents atay 1.03 peratus kepada AS$47.99 setong, terendah sejak 29 November lalu.

Pengeluar minyak AS menambah jumlah pelantar minyak bagi tempoh lapan minggu berturut-turut berikutan syarikat tenaga mengambil langkah meningkatkan perbelanjaan.

Ia bagi memanfaatkan pemulihan dalam harga minyak mentah sejak OPEC bersetuju untuk mengurangkan pengeluaran hujung tahun lalu.

OPEC dan negara pengeluar minyak utama yang lain termasuk Rusia mencapai persetujuan tahun lalu untuk mengurangkan pengeluaran kepada hampir 1.8 juta tong minyak sehari pada separuh pertama tahun ini.

Inventori minyak mentah AS turut membayangi pengurangan itu dengan peningkatan sebanyak 8.2 juta tong di negara pengguna minyak terbesar dunia itu.

ANZ Bank dalam satu nota berkata dengan pasaran masih bergelut dengan peningkatan besar dalam inventori, harga minyak berkemungkinan berada di bawah tekanan hari ini. - Reuters

Berita Harian X