Jumaat, 10 March 2017 | 9:30pm

Bursa Malaysia ditutup positif

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup positif hari ini, dipacu oleh aktiviti pembelian di saat-saat akhir membabitkan saham sektor telekomunikasi dan bermodal kecil, kata peniaga.

Petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 0.16 mata untuk ditutup pada paras 1,717.58 berbanding 1,717.42 pada Khamis.

Sewaktu dibuka, indeks itu susut 1.08 mata kepada 1,716.34 dan berlegar dalam jajaran antara 1,713.55 dan 1,718.02, sepanjang dagangan hari ini.

Di pasaran secara amnya, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 471 berbanding 435 dengan 371 kaunter tidak berubah, 425 tidak didagangkan manakala 23 lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 3.4 bilion unit bernilai RM3.19 bilion berbanding 3.35 bilion unit bernilai RM2.46 bilion, semalam.

Bagi saham berkaitan telekomunikasi, Axiata naik lapan sen kepada RM4.73, Digi untung dua sen kepada RM5.10 manakala Maxis menokok satu sen kepada RM6.42.

Penganalisis Malacca Securities, Kenneth Leong memberitahu sentimen lemah masih ketara di bursa tempatan berikutan penyusutan harga minyak mentah, selain aktiviti pengambilan untung bagi saham-saham berwajaran tinggi terpilih.

Indeks FBM Emas naik 1.17 mata kepada 12,135.62, Indeks FBM Emas Syariah menambah 9.27 mata kepada 12,559.68 manakala Indeks FBMT100 susut 5.8 mata kepada 11,798.37. FBM Ace pula meningkat 10.42 mata kepada 5,338.1 manakala FBM 70 merosot 32.85 mata kepada 14,098.28.

Berdasarkan sektor, Indeks Perusahaan naik 5.71 mata kepada 3,243.24, Indeks Perladangan merosot 3.47 mata kepada 8,081.19 dan Indeks Kewangan pula berkurangan 2.39 mata kepada 15,400.07.

Saham berwajaran tinggi menyaksikan Maybank dan Sime Darby untung empat sen, masing-masing kepada RM8.77 dan RM9.14 manakala TNB, Petronas Chemicals dan IHH Healthcare naik dua sen, masing-masing kepada RM13.72, RM7.35 dan RM5.90.

Bagi saham aktif pula, Ekovest naik 16 sen kepada RM1.45, Iskandar Waterfront City Bhd meningkat 52 sen kepada RM2.28 dan Benalec menambah 9.5 sen kepada 56.5 sen.

Hibiscus Petroleum pula susut 2.5 sen kepada 43 sen dan Dagang Nexchange merosot satu sen kepada 39.5 sen.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 2.72 bilion unit bernilai RM3.08 bilion daripada 2.67 bilion unit bernilai RM2.34 bilion, semalam.

Di Pasaran ACE, jumlah dagangan berkurangan kepada 386.66 juta saham bernilai RM75.67 juta daripada 444.33 juta saham bernilai RM89.75 juta.

Waran meningkat kepada 287.71 juta unit bernilai RM30.97 juta daripada 224.86 juta unit bernilai RM29.79 juta.

Barangan pengguna menyumbang 163.8 juta saham didagangkan di Pasaran Utama, barangan perusahaan (542.18 juta), pembinaan (511.44 juta), dagangan dan perkhidmatan (708.7 juta), teknologi (119.7 juta), infrastruktur (5.46 juta), SPAC (987,000), kewangan (92.43 juta), perhotelan (2.15 juta), hartanah (536.57 juta), perladangan (31.24 juta), perlombongan (56,300), REIT (8.55 juta) manakala dana tertutup (56,000). -- BERNAMA

Berita Harian X