Rabu, 8 March 2017 | 8:52am
- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Harga minyak sedikit berubah di pasaran New York

NEW YORK: Harga minyak ditutup tidak banyak berubah di pasaran New York semalam, berikutan jangkaan peningkatan pengeluaran minyak Amerika Syarikat (AS) akan mengimbangi kenaikan sebelumnya.

Pasaran mendapat sedikit rangsangan selepas Menteri Minyak Arab Saudi memberitahu asas pasaran bertambah baik.

Bagaimanapun, harga komoditi itu jatuh sedikit pada sesi akhir dagangan selepas data daripada Institut Petroleum AS menunjukkan stok minyak mentah negara itu pada minggu lalu meningkat 11.6 juta tong, atau lebih daripada lima kali ramalan penganalisis.

Niaga hadapan Brent susut sembilan cents atau 0.2 peratus, untuk ditutup pada AS$55.92 setong, manakala minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) susut enam sen, atau 0.1 peratus kepada AS$53.14.

Kedua-dua penanda tanda aras minyak global itu susut kira-kira 0.7 peratus selepas data pengeluaran API.

Harga minyak berlegar dalam jajaran AS$3 sejak Februari, gagal melonjak selepas pengurangan pengeluaran oleh OPEC dilaksanakan, pemotongan pengeluaran pertama dalam tempoh lapan tahun.

Harga berada di bawah tekanan kerana penggerudian syal minyak AS meningkat dengan WTI meningkat kukuh melepasi AS$50 setong pada Disember selepas OPEC memeterai perjanjian dengan Russia dan pengeluar bukan OPEC lain.

EIA mengunjurkan pengeluaran minyak AS akan meningkat kepada purata 9.2 juta tong sehari tahun ini dan 9.7 juta tong sehari pada 2018, yang jika betul, akan mengatasi rekod tertinggi semasa sebanyak 9.6 juta tong sehari yang ditetapkan pada 1970.

Reuters

Berita Harian X