Isnin, 6 March 2017 | 7:52pm

Penyertaan Saudi Aramco beri kredit positif kepada PETRONAS - Moody's

KUALA LUMPUR: Langkah syarikat minyak Arab Saudi (Saudi Aramco) membeli 50 peratus kepentingan dalam projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS), dilihat memberi kelebihan positif dari segi kredit kepada syarikat petroleum Malaysia berkenaan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Moody's Investors Service, berkata langkah itu akan mengurangkan perbelanjaan modal PETRONAS bagi projek bernilai kira-kira AS$27 bilion (RM120.1bilion) itu.

"Kami menjangkakan PETRONAS dapat mengekalkan kedudukan tunai bersih pada 2017 berbanding jangkaan awal kami bahawa ia perlu membuat pinjaman bagi pembiayaan penuh projek RAPID.

"Sehubungan itu, metrik kredit PETRONAS akan terus kekal pada kedudukan penarafan A1," kata agensi penarafan itu.

Malah, menurut Moody's, kerjasama itu akan memberi rakan kukuh kepada PETRONAS bagi aktiviti hiliran berikutan rekod pencapaian Saudi Aramco dalam pembangunan projek berskala besar.

Penjualan pegangan kepentingan dalam RAPID itu juga seiring strategi PETRONAS untuk mengurangkan perbelanjaan operasi dan modal sehingga kira-kira RM50 bilion dalam tempoh empat tahun mulai 2016.

Setakat September tahun lalu, PETRONAS dapat mengurangkan 28 peratus perbelanjaan modalnya bagi tahun-ke-tahun kepada RM36 bilion.

Projek RAPID itu merangkumi sebuah kilang penapis berkeupayaan mengeluarkan sehingga 300,000 tong minyak sehari dan kompleks petrokimia dengan kapasiti pengeluarannya mencecah 3.5 juta tan setahun.

Projek itu siap 60 peratus setakat ini dan PETRONAS menjangkakan operasi kemudahan itu dapat dimulakan menjelang 2019. - BERNAMA

Berita Harian X