Rabu, 1 March 2017 | 6:47pm

Bursa Malaysia ditutup tinggi

KUALA LUMPUR: Harga saham di Bursa Malaysia ditutup tinggi hari ini berikutan sokongan belian dalam saham mewah terpilih, didahului saham kewangan serta perdagangan dan perkhidmatan.

Pada jam 5 petang, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 3.92 mata kepada 1,697.69, selepas bergerak antara 1,692.33 dan 1,701.13 sepanjang sesi dagangan.

Indeks dibuka tinggi 0.87 mata kepada 1,694.64 daripada 1,693.77 semasa ditutup pada Selasa.

Suasana pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 546 berbanding 360 manakala 338 kaunter tidak berubah, 452 tidak diniagakan dan 15 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 3.02 bilion unit bernilai RM2.33 bilion berbanding 2.42 bilion unit bernilai RM2.89 bilion pada Selasa.

Peniaga berkata bursa tempatan diniagakan mendatar dalam dagangan jajaran kecil pada sesi pagi sebelum meningkat susulan sokongan belian dalam saham wajaran tinggi terpilih pada akhir sesi dagangan.

"Ditutup lebih tinggi itu sejajar dengan prestasi kukuh di kebanyakan pasaran serantau selepas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menawarkan beberapa butiran ekonomi dalam ucapannya kepada Kongres," katanya.

Hang Seng Hong Kong naik 0.15 peratus kepada 23,776.49, Nikkei 225 Jepun meningkat 1.44 peratus kepada 19,393.54, pasaran Korea Selatan, Kospi menambah 0.29 peratus kepada 2,091.64 dan Straits Times Singapura menokok 1.04 peratus kepada 3,128.02.

Kaunter untung dalam saham wajaran tinggi berkaitan indeks termasuklah Axiata dan CIMB Group, masing-masing meningkat 12 sen, kepada RM4.55 dan RM5.09, Sime Darby menokok lapan sen kepada RM9.04, Petronas Dagangan naik 48 sen kepada RM24.98, dan RHB Bank menambah 10 sen kepada RM4.94.

Daripada saham aktif, waran Dagang Nexchange menambah empat sen kepada 18 sen, Dagang Nexchange naik tiga sen kepada 42.5 sen, Borneo Oil menokok satu sen kepada 18 sen dan Bumi Armada meraih setengah sen kepada 73 sen.

Indeks FBM Emas naik 31.59 mata kepada 11,981.87, Indeks FBM Emas Syariah meningkat 42.09 mata kepada 12,429.84, Indeks FBMT100 menambah 24.35 mata kepada 11,665.84 dan FBM 70 menokok 19.33 mata kepada 13,955.42.

FBM Ace merosot 13.28 mata kepada 5,233.14.

Mengikut sektor, Indeks Perusahaan naik 2.80 mata kepada 3,234.66, Indeks Kewangan meningkat 61.55 mata kepada 15,087.89, bagaimanapun Indeks Perladangan susut 4.06 mata kepada 8,078.26.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 2.31 bilion unit bernilai RM2.24 bilion berbanding 1.72 bilion unit bernilai RM2.78 bilion pada Selasa.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE naik kepada 497.58 juta saham bernilai RM69.16 juta daripada 468.24 juta saham bernilai RM77.80 juta semalam. Waran berkurangan kepada 209.87 unit bernilai RM25.36 juta daripada 224.81 juta unit bernilai RM29.18 juta pada Selasa.

Barangan pengguna menyumbang 114.51 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, barangan perusahaan (447.07 juta), pembinaan (162.84 juta), perdagangan dan perkhidmatan (1.23 bilion), teknologi (149.25 juta), infrastruktur (8.48 juta), SPAC (21.52 juta), kewangan (64.16 juta), hotel (1.61 juta), hartanah (64.97 juta), perladangan (42.96 juta), perlombongan (58,000), REIT (3.99 juta) dan dana tertutup (11,500). - BERNAMA

Berita Harian X