Jumaat, 24 Februari 2017 | 3:34pm

Geely perkenal kereta pintar Lynk & Co

KUALA LUMPUR: Geely Automobile, firma automotif China yang berminat membeli ekuiti dalam PROTON Holdings Bhd, akan melancarkan jenama kereta baharu yang dikenali sebagai Lynk & Co di Shanghai April ini.

Ia disasarkan untuk menarik pemandu muda China dengan paparan konsep kenderaan pintar, mesra alam serta perkongsian kereta.

Mengikut laporan Nikkei Asian Review, jenama itu akan berada di pasaran China pada suku keempat tahun ini, sebelum secara rasmi di jual di Eropah dan Amerika Syarikat pada suku pertama 2019.

Kereta Lynk & Co akan dihasilkan di China, namun ia akan menggabungkan kepakaran rekaan dengan Volvo Cars. Kereta pertama rangkaian kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak 01 dibangun menggunakan teknologi Volvo Cars.

Pertama kali diumumkan pada Oktober lalu di Berlin, kenderaan Lynk & Co akan menawarkan harga tetap dan model langganan fleksibel tanpa perlu membayar wang pendahuluan seperti mana langganan telefon mudah alih.

Geely said apa yang membezakan kereta Lynk & Co dengan model lain ialah "dibangunkan secara digital".

Ia akan disambungkan dengan internet, yang mana membolehkan kenderaan-dengan-kenderaan berkomunikasi.

Sebagai contoh, pemandu boleh berkongsi dan menyewa kenderaan mereka hanya dengan menekan butang yang terbina dalam kereta berkenaan.

Tiga syarikat teknologi, Alibaba Group Holding, Ericsson dan Microsoft menyediakan infrastruktur sokongan kepada kenderaan itu.

"Industri kereta cuba untuk lebih saling bersambung. Industri ini cuba menjadi lebih mudah alih," kata Naib Presiden Kanan Lynk & Co, Alain Visser, pada acara pemasaran anjuran Geely pada Khamis.

Visser memberi contoh pengeluar iPhone, Apple memasuki industri automotif, namun ia dilaporkan menangguhkan rancangan membina kereta.

"Membina kereta bukannya perkara yang sangat mudah.

"Industri kereta membangunkan kepakaran dalam perkara ini dan penambahan ketersambungan kepada kereta ini lebih mudah berbanding menambah mobiliti dalam telefon," katanya.

Sementara itu, laporan media mendedahkan syarikat induk Geely, Zhejiang Geely Holding Group merancang mengambilalih pegangan dalam PROTON, pengeluar kereta Malaysia.

Bagaimanapun, kumpulan berkenaan tidak memberi sebarang komen berhubung perjanjian berpotensi itu.

"Ia masih dalam perbincangan, jadi kami tidak boleh mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu," kata Pengarah Eksekutif Unit, Lawrence Ang Siu-lun, yang disenaraikan di Hong Kong, Geely pada acara sama.

Berita Harian X