Khamis, 23 Februari 2017 | 5:50pm

Beg udara Honda boleh ditukar di stesen PETRONAS

PETALING JAYA: Honda Malaysia akan menambah beberapa lokasi untuk menggantikan pengepam beg udara hadapan Takata.

Ia bertujuan meningkatkan keselesaan kepada pelanggan yang terbabit, sebagai komitmennya untuk menjamin keselamatan mereka.

Bagi mempercepatkan usaha membantu pelanggan yang terbabit, Honda Malaysia bekerjasama dengan PETRONAS Dagangan Bhd (PDB) supaya pemilik kereta yang menghadapi masalah pengepam beg udara Takata dapat menggantikannya di stesen PETRONAS.

Melalui kerjasama itu, Honda Malaysia kini mengadakan kerja penggantian itu di tiga lokasi iaitu stesen PETRONAS terpilih, Hub Mudah Alih di pusat beli belah dan semua 84 pusat servis bertauliah Honda.

Selain lokasi berkenaan, pelanggan juga boleh menukar pengepam berkenaan di beberapa lokasi Honda Family Road Trip (HFRT), acara luar di seluruh negara yang diisi dengan pelbagai aktiviti menarik untuk seluruh keluarga.

Berita Harian X