Selasa, 21 Februari 2017 | 9:17am

Konglomerat China tak jadi beli syarikat hiburan AS

Pengerusi Lembaga Pengarah dan Presiden Dalian Wanda Group Co., Ltd Wang Jianlin. - Foto Joe Scarnici/WireImage
Pengerusi Lembaga Pengarah dan Presiden Dalian Wanda Group Co., Ltd Wang Jianlin. - Foto Joe Scarnici/WireImage

BENGALURU, India: Cadangan konglomerat China dan pengendali rangkaian pawagam, Dalian Wanda, bernilai AS$1 bilion untuk membeli syarikat hiburan Amerika Syarikat (AS), Dick Clark Productions Inc tidak menjadi kenyataan, demikian menurut laman web berita hiburan online Balut semalam yang memetik sumber tidak dinamakan.

Wanda, yang dikendalikan oleh seorang lelaki terkaya di China, Wang Jianlin, pada awal November lalu, menyatakan ia akan membeli kepentingan Dick Clark Productions, syarikat yang mengendalikan Golden Globe Awards dan pertandingan ratu cantik Miss America.

Rundingan itu gagal berikutan masalah untuk membawa keluar sumber kewangan dari China dan memperoleh kelulusan daripada pihak kawal selia kerajaan Cina, kata Balut.

Wanda telah memiliki Legendary Entertainment, pengeluar bersama filem pecah rekod "Jurassic World," dan rangkaian pawagam AS, AMC Entertainment Holdings Inc (AMCN).

Ia juga mempunyai hubungan perniagaan dengan Sony Pictures dan unit filem Sony Corp, (6758.T) di China.

Cadangan pengambilalihan Dick Clark telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan sesetengah penggubal undang-undang AS mengenai pengaruh China di Hollywood dan kesannya ke atas media di negara itu, walaupun Jianlin menyatakan kepentingannya di dalam syarikat itu atas faktor perniagaan dan tidak bermotifkan politik.

Dick Clark Productions dan Dalian Wanda tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen, begitu juga pemilik Dick Clark Production, iaitu syarikat pegangan pelaburan media Dick Clark Eldridge Industries. - Reuters

Berita Harian X