Isnin, 20 Februari 2017 | 9:53pm

Geely dijangka kemuka bidaan ekuiti PROTON minggu ini

BEIJING: Pengeluar kereta China, Zhejiang Geely Holding Group Co dijangka kemuka bidaan ekuiti dalam PROTON Holdings Bhd minggu ini.

Ia bagi membolehkan syarikat automotif China itu membentuk pakatan strategik dengan PROTON, demikian kata dua sumber industri.

Syarikat berpangkalan di Hangzhou yang memiliki syarikat Sweden, Volvo Car Group itu, dijangka menawarkan PROTON beberapa teknologi terkini kenderaannya yang dibangunkan dengan input Volvo.

Terdahulu, pada awal bulan ini, DRB-Hicom Holdings Bhd berkata, ia sedang menunggu pengeluar kereta asing berpotensi mengemukakan tawaran bagi pakatan strategik.

Pembida lain termasuk pengeluar Peugeot, PSA , syarikat automotif Jepun, Suzuki Motor Corp dan pengeluar kereta Perancis, Renault SA.

Sebagai maklum balas kepada permintaan Reuters untuk komen, Ketua Komunikasi Strategik DRB-Hicom, Mahmood Razak, berkata: "Kami tidak ada sesuatu yang baharu untuk diperkatakan" dengan menyatakan kenyataan sebelum ini bahawa ia adalah satu proses yang kompleks.

Konglomerat itu menyasar akan mengumumkan keputusan itu pada separuh pertama tahun ini.

"Kami menilai tawaran yang diterima. Tiada pendedahan sehingga kami telah memilih FSP (rakan strategik asing)," katanya.

Jurucakap Geely, bagaimanapun enggan mengulas.

Tidak jelas sama ada bidaan Geely itu, sebahagian apa yang diperkatakan sumber adalah bidaan pusingan akhir, termasuk tawaran tunai pegangan dalam PROTON.

Sumber rapat berkata, Geely sedang meninjau sekurang-kurangnya 51 peratus pegangan.

Dengan menawarkan PROTON beberapa teknologinya, Geely berharap untuk membantu jualan PROTON di pasaran pemanduan sebelah kanan termasuk Malaysia, United Kingdom (UK), India dan Australia, kata sumber.

Teknologi itu termasuk yang digunakan Geely untuk membangunkan kereta bersaiz sederhana seperti sedan GC9 dan kenderaan utiliti sukan (SUV), Boyue dan teknologi kereta kecil yang dibangunkan dengan Volvo, kata sumber.

Jualan GC9 dan Boyue yang kukuh membantu Geely mengembangkan jualan di China sebanyak 50 peratus kepada 765,851 kenderaan tahun lalu. - REUTERS

Berita Harian X