Isnin, 20 Februari 2017 | 12:49pm

Penjagaan kesihatan sasar sumbang RM5 bilion kepada KDNK

Ketua Pegawai Eksekutif MHTC Sherene Azli. - Foto http://www.newstream.asia
Ketua Pegawai Eksekutif MHTC Sherene Azli. - Foto http://www.newstream.asia

KUALA LUMPUR: Industri penjagaan kesihatan menyasarkan sumbangan hasil sehingga RM5 bilion kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia tahun ini.

Angka itu adalah berdasarkan anggaran sejuta pelancong penjagaan kesihatan yang dijangka melawat negara tahun ini.

Menurut Majlis Pelancongan Penjagaan Kesihatan Malaysia (MHTC) dalam kenyataan di sini, hari ini, sumbangan industri kepada KDNK pada 2016 melebihi RM1 bilion.

"Pasaran utama meliputi pelancong dari ASEAN, namun segmen penjagaan kesihatan Malaysia kini menyaksikan pertumbuhan kukuh pelawat dari China dan India," menurutnya.

Menurut MHTC, sektor perjalanan perubatan sudah menjadi pilihan utama di Asia.

Kejayaan tokoh MHTC yang menerima penghargaan di peringkat antarabangsa atas sumbangan cemerlang dalam penjagaan kesihatan global, memperkukuhkan lagi keyakinan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif MHTC Sherene Azli, bersama 50 wanita lain terpilih sebagai 'Wanita Cemerlang dalam Penjagaan Kesihatan 2017' pada Kongres Kesihatan dan Kesejahteraan Dunia 2017 baru-baru ini.

Sejak kebelakangan ini, sektor pelancongan penjagaan kesihatan Malaysia menyaksikan pertumbuhan pesat.

Pengiktirafan ke atas Sherene akan membantu memacu penjagaan kesihatan Malaysia ke tahap yang lebih tinggi.

- BERNAMA

Berita Harian X