NEW YORK: Pasaran saham Amerika Syarikat (AS) dibuka rendah sedikit hari ini, ketika pelabur menunggu pemangkin baharu untuk meneruskan rekod kenaikan Wall Street apabila tinjauan ekonomi semakin cerah.
Rali pasaran saham dicetuskan sejak seminggu lalu oleh ikrar Presiden AS, Donald Trump berhubung satu pengumuman cukai 'luar biasa'.
Data ekonomi mantap juga memberikan sokongan, manakala saham perbankan meningkat dengan prospek kenaikan kadar faedah tidak lama lagi.
Trump menulis tweet hari ini: "Pasaran saham mencecah paras tertinggi baharu dengan siri kenaikan paling lama dalam tempoh beberapa dekad. Tahap keyakinan yang tinggi - walaupun pelan cukai belum dibentangkan!"
Pengerusi Rizab Persekutuan, Janet Yellen berkata, kadar faedah mungkin dinaikkan pada mesyuarat dasar seterusnya, dengan peniaga meningkatkan pertaruhan ia akan berlaku bulan depan.
Indeks e-mini Dow susut 40 mata, atau 0.19 peratus pada 8.27 pagi waktu tempatan, dengan 20,531 kontrak bertukar tangan.
Indeks e-mini S&P 500 jatuh 5.5 mata, atau 0.23 peratus, dengan 123,701 kontrak diniagakan.
Sementara, indeks e-mini Nasdaq 100 turun 4.5 mata, atau 0.08 peratus membabitkan 19,915 kontrak. - Reuters