Isnin, 13 Februari 2017 | 1:09pm

KWAP sasar pulangan pelaburan 5.5 peratus tahun ini

gn4id:18939379

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) atau KWAP , pengurus dana persaraan kedua terbesar negara dengan jumlah aset mencecah RM129.9 bilion sehingga Disember lalu, menggiatkan usaha mempelbagaikan pelaburan khususnya dalam hartanah dan ekuiti antarabangsa dalam usaha menjana pulangan yang optimum dalam berdepan persekitaran pasaran global yang amat mencabar.

Keperluan mempelbagaikan pelaburan menjadi keutamaan bagi sesebuah dana awam seperti KWAP dalam ketika kadar pulangan daripada instrumen pendapatan tetap menjana hasil sederhana ekoran persekitaran penetapan penanda aras kadar faedah yang kekal rendah.

Hasil penanda aras instrumen pendapatan tetap tempatan, sekuriti Kerajaan Malaysia bertempoh 10 tahun, adalah sekitar 3.5 peratus, manakala banyak bon kerajaan di pasaran negara maju memberi pulangan lebih rendah, malah ada juga yang negatif. Peruntukan pelaburan KWAP dalam pendapatan tetap adalah kira-kira 52 peratus.

Dalam satu temu bual baru-baru ini, Ketua Eksekutif KWAP, Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad, berkata pada tahun ini pihaknya menyasar untuk meraih pulangan pelaburan sebanyak 5.5 peratus.

Pada tahun lalu, tabung pencen kakitangan awam itu berupaya menjana pulangan pelaburan 5.33 peratus, meskipun penanda aras pasaran ekuiti, FBM KLCI mencatat penurunan 3.5 peratus pada asas tahunan, penyusutan tahun ketiga berturut-turut selepas 3.4 peratus pada 2015 dan 4.5 peratus pada 2014. Peruntukkan pelaburan KWAP dalam pasaran ekuiti adalah 37.9 peratus.

"Walaupun pulangan pada tahun lalu lebih rendah berbanding 5.41 peratus pada 2015, ia adalah sesuatu dalam jangkaan susulan keadaan pasaran yang sukar. Dalam situasi itu, sudah memadai KWAP berupaya mencatat prestasi yang hampir dengan tahun sebelumnya dan pihak Lembaga Pengarah juga berpuas hati dengan pencapaian berkenaan," kata beliau.

Dari segi peruntukan aset pelaburan KWAP setakat 31 Disember 2016, 51.8 peratus adalah dalam pendapatan tetap; 37.9 peratus dalam ekuiti; 5.0 peratus dalam pelaburan alternatif, termasuk pelaburan dalam hartanah dan ekuiti swasta; dan baki 5.0 peratus lagi simpanan dalam bentuk tunai. Daripada keseluruhan peruntukan itu, bahagian pelaburan di dalam negara adalah 88.4 peratus, manakala baki 11.6 peratus adalah pelaburan di luar negara.

Wan Kamaruzaman menjelaskan, pulangan terbesar dari segi peratusan yang diraih pada tahun lalu adalah daripada pelaburan di luar negara yang mana memberi keuntungan 15 peratus.

"Pelaburan di luar negara ada baiknya. Pada tahun lalu, kami menjual sebuah bangunan di London (bangunan pejabat di 88 Wood Street), selepas memilikinya selama empat tahun. Ia dibeli pada harga 215 juta pound sterling dan kami menjual pada harga 275 juta pound sterling. Keuntungan kasar yang diraih adalah 60 juta pound sterling, keuntungan bersih selepas kos adalah 50 juta pound sterling, selepas ditukar kepada mata wang tempatan, ia adalah kira-kira RM300 juta," katanya.

Susulan itu, KWAP menyasar mempelbagaikan pelaburannya dengan meningkatkan lagi bahagian yang diperuntukkan untuk pelaburan di luar negara kepada 14 peratus menjelang akhir tahun ini, daripada 11.6 peratus kini. Menjelang 2020, aspirasi dana pencen itu adalah menaikkan peruntukan pelaburan di luar negara kepada 19 peratus.

"Adalah penting bagi kami mempelbagaikan aset. Langkah ini akan menjana pulangan lebih stabil," kata beliau.

Ditanya mengenai gesaan kerajaan supaya syarikat berkaitan kerajaan melabur di dalam negara bagi menyokong nilai ringgit sejak dua tahun lalu, Wan Kamaruzaman berkata, masih ada peluang untuk membina pelaburan di peringkat global.

"Sebagai contoh, dengan menggunakan nilai pelaburan dalam hartanah luar negara, misalnya di Australia dan London sebagai cagaran, KWAP berpeluang meminjam antara 70 peratus hingga 80 peratus daripada nilainya. Kami menggunakan dana ini untuk meneroka peluang baharu," katanya.

Dari segi pelaburan dalam pendapatan tetap dan ekuiti antarabangsa, Wan Kamaruzaman berkata, ia juga boleh dikembangkan dan dipelbagaikan dengan dana yang ada di luar negara.

"Kami memiliki pejabat di London untuk menguruskan pelaburan di United Kingdom (UK) dan Eropah, selain daripada Mandat Asia Pasifik bagi pengembangan pelaburan di rantau ini. Pelaburan KWAP kini meliputi UK, Eropah dan Asia. Kami juga bercadang mengembangkan lagi pelaburan di Amerika Syarikat (AS)," katanya.

Menurut Wan Kamaruzaman, pejabat KWAP di London ketika menguruskan dana 270 juta pound sterling di UK dan 250 juta euro di Eropah, dan pihaknya akan menambah dana berkenaan dalam usaha mempelbagaikan aset pelaburan.

Jika sebelum ini pelaburan KWAP dalam hartanah menerusi pembelian bangunan yang siap dibina, ia kini meninjau peluang untuk terbabit dalam bidang itu seawal kerja pembangunannya.

KWAP, kata Wan Kamaruzaman, pada tahun ini juga mengintai peluang untuk membuat pelaburan secara langsung di Malaysia, iaitu pembangunan rumah persaraan serta memajukan dua bidang tanah miliknya di Jalan Stonor dan Changkat Kia Peng, Kuala Lumpur.

Mengenai pempelbagaian pelaburan dalam ekuiti persendirian, Wan Kamaruzaman, berkata ia adalah segmen yang agak mencabar kerana risikonya lebih tinggi, namun jika ia dilaksanakan dengan baik, maka pulangannya juga adalah tinggi.

"Pelaburan dalam ekuiti persendiriannya ini dibuat dalam dua cara, iaitu melantik pengurus dana bagi menguruskan modal yang disalurkan, manakala keduanya, membeli secara langsung ekuiti syarikat yang tidak disenaraikan di pasaran saham seperti pemilikan kepentingan KWAP dalam UberGlobal dan Munchy Food Industries Sdn Bhd. Kami masih meninjau untuk membuat pelaburan langsung seperti ini khususnya di Malaysia," katanya.

Sebelum menerajui KWAP pada Mei 2013, Wan Kamaruzaman, adalah Pengurus Besar Jabatan Perbendaharaan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang bertanggungjawab membangunkan program lindung nilai dana persaraan terbesar negara itu.

Ketika ditemubual, Wan Kamaruzaman berkata, KWAP juga memiliki program lindung nilai yang diperkenalkan pada 2013. Program itu adalah bagi melindung nilai pulangannya di pasaran antarabangsa pada nilai yang dikira wajar dan tidak terjejas ekoran ketidaktentuan pasaran mata wang global.

Pada tahun lalu, dana itu meningkatkan kadar lindung nilai daripada 50 peratus kepada 70 peratus daripada pendedahannya di luar negara bagi mengurangkan kesan negatif ekoran Brexit yang menyebabkan penyusutan nilai pound sterling. KWAP masih memiliki dua hartanah di UK dan peruntukan ekuiti di negara itu lebih 250 juta pound sterling.

"Secara penerangannya, lindung nilai ini dibuat untuk melindungi pulangan pada kadar yang kita puas hati. Contohnya, pelaburan Australia, jika masa kita beli pulangannya pada kadar 7.0 peratus. Jika nilai dolar Australia merosot 5.0 peratus, maka sudah tinggal 2 peratus.

"Jika kita mahu lindungi pulangan 7.0 peratus itu maka kita buat lindung nilai. Jika dolar Australia susut, pulangan kita tidak terjejas. Dalam hal ini, kita mengeluarkan risiko mata wang dan hanya lihat pada risiko kelas aset yang dilaburkan," katanya.

Berita Harian X