Khamis, 9 Februari 2017 | 7:48pm

Harga minyak meningkat hari ini

SINGAPURA: Harga minyak meningkat hari ini, didorong pengekalan tidak dijangka inventori minyak Amerika Syarikat (AS) walaupun bekalan minyak mentah bertambah, sekali gus menunjukkan pasaran bahan api kekal di bawah tekanan.

Dagangan hadapan penanda aras minyak mentah Brent didagangkan pada harga AS$55.52 setong pada 0758 GMT, naik 40 cents atau 0.7 peratus daripada penutup sebelum ini.

Harga minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) pula naik 39 cents atau 0.8 peratus kepada AS$52.73 setong.

Pentadbiran Maklumat Tenaga (EIA) AS berkata, simpanan minyak susut sebanyak 869,000 tong minggu lalu kepada 256.2 juta tong, berbanding peningkatan 1.1 juta tong yang dijangka penganalisis.

Peniaga berkata, peningkatan mengejut inventori minyak AS membantu menolak naik harga minyak mentah.

"Kami tetap sangsi dengan pergerakan harga dalam sekelip mata ini," kata penganalisis kanan pasaran Oanda, Jeffrey Halley merujuk kepada kenaikan harga minyak mentah.

Bagaimanapun, inventori minyak mentah komersial AS meningkat sebanyak 18.8 juta tong kepada 508.6 juta tong, demikian menurut EIA.

Goldman Sachs berkata, inventori tinggi bahan api dan peningkatan pengeluaran minyak mentah AS bermakna pasaran minyak akan kekal terlebih bekalan untuk jangka waktu tertentu. - REUTERS

Berita Harian X