Khamis, 2 Februari 2017 | 9:56pm

Brent diniagakan AS$57.30 setong di London hari ini

LONDON: Harga minyak meningkat hari ini, menunjukkan pengurangan pengeluaran oleh OPEC dan pengeksport besar lain mengatasi kenaikan mendadak dalam bekalan minyak mentah Amerika Syarikat (AS) dan gasolin.

Minyak Brent naik 50 sen kepada AS$57.30 setong selepas meningkat AS$1.22 pada penutup sesi terdahulu.

Minyak mentah AS naik 30 sen kepada AS$54.18 selepas naik AS$1.07 pada penutup semalam.

Kedua-dua minyak mentah yang menjadi penanda aras global itu kini menghampiri julat tertinggi harga terkini.

Brent didagangkan pada julat antara AS$53 dan AS$58 setong dalam tempoh dua bulan lalu pada premium sekitar AS$2.50 dalam kontrak niaga hadapan minyak mentah AS

"Sentimen masa ini adalah meningkat," kata penganalisis PVM Oil Associated di London, Tamas Varga.

"Kami masih yakin dengan julat itu. Saya fikir pembeli akan menjauhkan diri jika harga pasaran semakin meningkat," katanya.

Inventori minyak mentah AS meningkat minggu lalu sebanyak 6.5 juta tong, yang di luar jangkaan menjadikan keseluruhan 494.76 juta tong, menurut Energy Information Administration.

Pertambahan dalam bekalan minyak mentah mengatasi jangkaan penganalisis iaitu kenaikan 3.3 juta tong.

Bekalan gasolin meningkat kepada 3.9 juta tong berbanding jangkaan penganalisis iaitu kenaikan sejuta tong.

Inventori di AS yang juga pengguna terbesar minyak di dunia menghampiri rekod tertinggi untuk beberapa tahun lalu dan pengeluaran domestik meningkat berikutan syarikat AS menggerudi minyak mineral.

Bagaimanapun, harga disokong oleh jangkaan bahawa pengeluar dari OPEC dan pengeksport lain mengurangkan hasil.

Kekangan itu menyusuli perjanjian tahun lalu oleh OPEC dan pengeksport lain untuk mengurangkan bekalan berjumlah 1.8 juta tong sehari bagi menaikkan harga yang kekal pada kira-kira separuh daripada paras pertengahan tahun 2014.

Tinjauan Reuters minggu ini mendapati kebanyakan pengeluar minyak utama kekal dengan perjanjian itu dengan kadar kepatuhan melebihi 80 peratus.

Hasil minyak Russia menguncup pada Januari lalu kepada 100,000 tong sehari, menurut data dari Kementerian Tenaga, hari ini.

Ketegangan antara AS dan Tehran juga meningkat selepas Iran menguji peluru berpandu balistik, dan meningkatkan kemungkinan sekatan pada masa hadapan yang boleh mengekang bekalan minyak Iran. -Reuters

Berita Harian X