Khamis, 26 Januari 2017 | 12:23pm

Harga minyak naik

SINGAPURA: Harga minyak menokok hari ini, dipacu kelemahan dolar AS, bagaimanapun kenaikan dihadkan lebihan bekalan dan inventori sungguhpun OPEC dan pengeluar bukan ahli OPEC berusaha mengurangkan pengeluaran.

Dagangan hadapan penanda aras antarabangsa Brent didagangkan pada AS$55.59 satu tong pada 0313 GMT, naik 51 cent, atau 0.93 peratus, berbanding penutup sebelum ini.

Di Amerika Syarikat (AS), West Texas Intermediate (WTI) didagangkan pada AS$53.22 satu tong, naik 47 cent, atau 0.89 peratus.

Pedagang berkata peningkatan disebabkan terutamanya oleh kelemahan nilai dolar AS, yang jatuh 3.9 peratus sejak paras puncak Januari.

Berikutan minyak didagangkan dalam mata wang dolar AS, dolar AS yang lebih lemah menjadikan pembelian lebih murah bagi pembeli dalam mata wang asing.

Bagaimanapun, kenaikan harga dihadkan data Pentadbiran Maklumat Tenaga (EIA) AS yang menunjukkan peningkatan 2.84 juta tong dalam inventori minyak mentah komersial kepada 488.3 juta tong, yang menambah 6.3 peratus dalam pengeluaran minyak AS sejak pertengahan tahun lalu kepada 8.96 juta tong sehari.

EIA menganggarkan inventori minyak mentah dan cecair lain berkembang sebanyak 2.0 juta tong sehari pada suku keempat 2016, dipacu peningkatan pengeluaran dan penyusutan dalam penggunaan.

Peningkatan inventori dan pengeluaran minyak AS menjadi penghalang kepada usaha OPEC dan pengeluar minyak bukan ahli OPEC, termasuk Russia, dalam mengurangkan bekalan sebanyak hampir 1.8 juta tong pada separuh pertama 2017 bertujuan menamatkan lebihan minyak global. - Reuters

Berita Harian X