Rabu, 25 Januari 2017 | 7:30pm

Keuntungan Hyundai terus merudum

SEOUL: Keuntungan Hyundai Motor jatuh 12 suku tahunan berturut-turut untuk tempoh tiga bulan berakhir Disember lalu, ekoran penurunan mendadak jualan sedan kecilnya yang kehilangan penguasaan pasaran di Korea Selatan serta langkah Amerika Syarikat (AS) mengecilkan pendapatan pengeluar kenderaan.

Pada 2011, Hyundai mampu menjual lebih daripada sebuah kereta dalam nisbah 20 kereta yang dijual di AS, selain didorong jualan kereta sedan Elantra dan Sonata.

Namun pengeluar kenderaan dari Korea Selatan itu kehilangan pasaran apabila gagal bersaing dengan model sedan pengeluar kenderaan lain seperti Honda Civic di AS dan Renault SM6 di Korea Selatan.

Memburukkan lagi keadaan, Hyundai yang kini berada di tangga kedua pasaran kereta di AS, bimbang dengan dasar baharu Presiden AS, Donald Trump, yang mahu mengenakan tarif lebih tinggi ke atas kenderaan yang dibawa masuk ke negara itu.

Hyundai Motor, pengeluar kenderaan nombor lima di dunia yang bergabung dengan Kia Motors Corp, berkata keuntungan bersihnya bagi suku keempat adalah 1 trilion won (AS$858.07 juta), turun 39 peratus berbanding tahun lalu.

Keuntungan suku tahunan syarikat itu juga semakin berkurang sejak suku pertama 2014. Keuntungan bagi 2016, jatuh 16 peratus kepada 6.4 trilion won, penurunan tahunan kali keempat berturut-turut.

Hyundai Motor berkata, ketidaktentuan pasaran industri automotif dijangka berterusan tahun ini, akibat peningkatan perlindungan perdagangan dan persaingan yang semakin meningkat.

Jualan suku keempat Hyundai Motor jatuh 0.9 peratus kepada 24.5 trilion won, manakala keuntungan operasi menurun 33 peratus daripada tahun lalu kepada 1 trilion won.

Autodata Corp berkata, perbelanjaan insentif AS yang melonjak 30 peratus kepada AS$2,582 (RM11,453) bagi setiap kenderaan pada Disember berbanding setahun yang lalu untuk Hyundai, adalah lebih tinggi daripada keuntungan purata industri sebanyak 23 peratus, dan memberi kesan terhadap keputusan kewangan syarikat itu bagi suku berkenaan.

Di pasaran domestik Korea Selatan, jualan Hyundai Motor jatuh 18 peratus pada suku keempat akibat permintaan yang kurang selepas pemotongan cukai eksais tamat Jun lalu. - REUTERS

Info

* Keuntungan bersih suku keempat Hyundai 1 trilion won

* Menjangkakan ketidaktentuan pasaran bakal berterusan ke atas industri automotif tahun ini

Berita Harian X