Selasa, 24 Januari 2017 | 9:55am

Untung suku keempat Samsung Electronics melonjak

SEOUL: Samsung Electronics Co Ltd mengumumkan keuntungan operasi suku keempat melonjak 50 peratus ke paras tertinggi dalam lebih tiga tahun, rekod keuntungan tertinggi dalam perniagaan cip melenyapkan impak negatif kegagalan telefon pintar Note 7.

Menurut Samsung, ia juga bercadang membeli balik saham bernilai 9.3 trilion won tahun ini.

Syarikat itu mengharapkan pasaran cip yang sedang meledak untuk terus memacu pertumbuhan dalam pada mana ia sedang berusaha pulih daripada krisis yang dicetus susulan kegagalan telefon pintar Note 7.

Samsung menjangka pendapatan akan susut dalam suku semasa berbanding suku sebelumnya kerana "perbelanjaan pemasaran yang meningkat dalam perniagaan mudah alih dan penyusutan jualan televisyen kerana permintaan bermusim yang lemah".

Pengeluar telefon pintar dan cip memori terbesar dunia itu berkata, keuntungan operasi bagi tempoh Oktober-Disember berjumlah 9.22 trilion won (AS$7.93 bilion), berbanding angka panduan sebelum ini pada 9.2 trilion won.

Pendapatan kekal mendatar pada 53.3 trilion won daripada tempoh sama setahun lalu, berbanding anggaran 53 trilion won.

Bahagian cip adalah penyumbang tunai terbesar pada suku dikaji, dengan keuntungan operasi melonjak 77 peratus kepada 4.95 trilion won berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Perniagaan mudah alih mencatat peningkatan keuntungan operasi 12 peratus kepada 2.5 trilion won susulan model seperti Galaxy S mengisi kekosongan yang ditinggalkan Note 7 pada Oktober.

Samsung sebelum ini berkata, kerosakan bateri menyebabkan Note 7 terlalu panas dan terbakar. - Reuters

Berita Harian X