Isnin, 23 Januari 2017 | 3:19pm

Bateri punca Samsung Galaxy Note 7 terbakar

SEOUL: Pengeluar telefon pintar terbesar dunia, Samsung Electronics menyalahkan kerosakan bateri sebagai punca kebakaran yang menjejaskan sama sekali jualan Galaxy Note 7 pada tahun lalu.

Samsung terpaksa menghentikan jualan telefon pintar itu, yang pada awalnya disasarkan untuk bersaing dengan iPhone keluaran Apple, selepas beberapa siri panggilan semula yang menyaksikan peralatan yang diganti turut terbakar.

Masalah itu menyebabkan syarikat itu kehilangan keuntungan berbilion dolar selain menjejaskan reputasinya, dalam tempoh yang mana firma Korea Selatan itu juga turut terpalit dengan skandal rasuah yang menyaksikan Presiden Korea Selatan, Park Geun-Hye dituduh terbabit.

Siasatan dalaman dan bebas 'merumuskan bahawa bateri didapati sebagai penyebab insiden Note 7', kata Samsung dalam satu kenyataan.

"Kami dengan ikhlas memohon maaf di atas ketidakselesaan dan kebimbangan yang disebabkan kepada pelanggan," kata Ketua Perniagaan Mudah Alihnya, Koh Dong-Jin dalam satu sidang akhbar di Seoul.

Samsung Electronics adalah anak syarikat paling berpengaruh di bawah Samsung Group, konglomerat terbesar Korea Selatan dengan pendapatan bersamaan satu perlima Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara itu.

Ia mengumumkan panggilan semula 2.5 juta unit Galaxy Note 7 pada September selepas beberapa peralatan itu meletup atau terbakar, dengan syarikat mempersalahkan bateri daripada pengeluar, dipercayai firma sekutunya, Samsung SDI.

Dengan telefon pengganti dengan bateri dibekalkan pengeluar lain, dipercayai ATL dari China juga mula terbakar, Samsung membuat keputusan untuk menghentikan terus pengeluar Note 7. - AFP

Berita Harian X