Khamis, 12 Januari 2017 | 10:04pm

PIKOM sasar 2,000 lagi syarikat sertai e-Commerce Malaysia

TIMBALAN Pengerusi PIKOM, Ganesh Kumar Bangah. - Foto Salhani Ibrahim
TIMBALAN Pengerusi PIKOM, Ganesh Kumar Bangah. - Foto Salhani Ibrahim

PETALING JAYA: Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia (PIKOM) menyasar menarik tambahan 2,000 pemain e-dagang

tempatan untuk menyertai bahagian baharunya, E-Commerce Malaysia, menjelang akhir tahun ini.

Bahagian baharu itu menyasar mempromosikan pemain e-dagang Malaysia menerusi inisiatif serantau dan global.

"Ketika ini, seramai 1,000 ahli Pikom menyertai bahagian baharu itu dan kami yakin dapat mencapai sasaran keahlian kami kerana industri ini berkembang pesat bukan hanya di Malaysia tetapi di seluruh rantau ASEAN," kata Timbalan Pengerusi PIKOM, Ganesh Kumar Bangah, selepas pelancaran E-Commerce Malaysia, di sini, hari ini.

Kumar Bangah yang juga Pengerusi E-Commerce Malaysia, berkata bahagian itu juga disasarkan menjadi pusat hubungan dengan kerajaan berhubung perkara berkaitan e-dagang, serta meningkatkan kesedaran mengenai betapa mudahnya untuk membeli belah dalam talian.

"E-Commerce Malaysia juga akan menjadi suara bagi peniaga tempatan dan membantu mereka mengenai isu berkaitan dengan e-dagang, termasuk isu logistik.

"Sebagai contoh, ketika ini, kami berusaha untuk mengekalkan kos penghantaran produk di bawah satu kilogram bawah AS$2.50 (kira-kira RM11) dalam rantau ini," katanya.

Beliau juga yakin bahagian e-dagang itu akan membantu meningkatkan sumbangan segmen teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara.

"E-dagang adalah satu industri amat baik dan hari ini semua orang mahu menjual secara dalam talian, dan E-Commerce Malaysia sudah pastinya membantu meningkatkan sumbangan ICT kepada KDNK," katanya.

Sebelum ini dilaporkan sektor ICT menyumbang 17.8 peratus (RM206.1 bilion) kepada ekonomi negara pada 2015, naik daripada 17.0 peratus (RM188.4 bilion) pada 2014.

Sementara itu, beliau berkata bahagian e-dagang itu juga melengkapi platform E-Commerce Alliance Asian-Oceanian Computing Industry Organisation (ASOCIO), yang disasarkan untuk mengembangkan perdagangan e-dagang rentas sempadan di rantau ini.

ASOCIO yang ditubuhkan pada 1984, adalah perkumpulan persatuan industri ICT mewakili 31 ekonomi di Asia dan Oceania. 

Pada majlis hari ini, Penasihat Pikom, David Wong Nan Fay, diumumkan sebagai pengerusi baharu ASOCIO, berkuat kuasa Januari tahun ini. - BERNAMA

Berita Harian X