Rabu, 11 Januari 2017 | 12:24am
KLIA.
KLIA.

MAHB, TM akan bangun sistem telekomunikasi bersepadu di KLIA

KUALA LUMPUR: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan Telekom Malaysia Bhd (TM) akan bekerjasama membangunkan sistem telekomunikasi bersepadu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Usaha itu dijalankan menerusi subsidiari, Malaysia Airport (Sepang) Sdn Bhd dan VADS Lyfe Sdn Bhd yang memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi projek pembangunan KLIA Aeropolis, baru-baru ini.

"MoU itu membabitkan projek telekomunikasi bersepadu, teknologi komunikasi maklumat (ICT) dan pembangunan perkhidmatan pintar yang diterajui oleh Malaysia Airports.

"MAHB dan VADS Lyfe akan bekerjasama secara erat untuk memperkukuhkan infrastruktur ICT dan telekomunikasi sedia ada di KLIA.

"Kedua-dua pihak akan turut meninjau usaha untuk menerapkan perkhidmatan pintar menerusi pelaksanaan perkhidmatan yang sejajar dengan (teknologi) Internet of Things (komunikasi antara peranti)," kata MAHB dan TM dalam satu kenyataan bersama.

Sementara itu, Pengarah Urusan MAHB, Datuk Badlisham Ghazali, berkata kerjasama dengan VADS Lyfe akan membolehkan pengendali lapangan terbang itu menawarkan kecekapan, pengoptimuman kemudahan lapangan terbang bandar selain mengekang masalah pembaziran tenaga.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM Group, Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa pula menyifatkan jalinan kerjasama itu memberi kesempatan kepada TM untuk mempromosikan Kehidupan Bandar Pintar menerusi penawaran penyelesaian pintar termasuk pengurusan Bangunan Pintar.

"Ia juga sejajar wawasan TM iaitu 'Untuk Menjadikan Hidup dan Perniagaan Lebih Mudah Demi Kesejahteraan Malaysia," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X