Jumaat, 6 Januari 2017 | 10:20pm

Huawei sasar jadi nombor satu dalam 5 tahun

LAS VEGAS: Eksekutif tertinggi pembuat telefon pintar ketiga terbesar dunia, Huawei, telah membentangkan satu agenda bercita-cita tinggi untuk pasaran Amerika Syarikat (AS) dan global, mengetepikan isu politik yang menjadi penghalang kepada beberapa syarikat China sebelum ini.

Ketua Eksekutif Kumpulan Perniagaan Pengguna Huawei, Richard Yu, yang membuat rentetan penampilan di Pameran Elektronik Pengguna (CES) minggu ini, mengekalkan matlamat syarikat untuk menjadi pembuat telefon pintar terbesar dunia dalam tempoh lima tahun.

"Kami mahu menjadi nombor dua dalam tempoh dua tahun akan datang," Yu memberitahu sekumpulan kecil pemberita selepas ucaptama pada pameran Las Vegas.

"Dalam lima tahun kami mahu menjadi nombor satu."

Yu berkata, Huawei yang memperkenalkan dua telefon bimbit pada perhimpunan teknologi itu telah mencatatkan prestasi lebih baik dalam banyak ujian teknikal dan kaji selidik berbanding dua pesaing telefon pintarnya yang lebih atas, Samsung dan Apple.

Namun, beliau berkata yang lebih penting untuk Huawei ialah menembusi pasaran AS dengan lebih baik, terutama dalam segmen telefon pintar premium.

Untuk berbuat demikian, ia perlu membangunkan hubungan dengan syarikat pengendali, yang mana menerusinya kebanyakan peranti dijual, bukan hanya menerusi jualan langsung daripada telefon yang tidak dikunci.

"Dalam tempoh dua hingga lima tahun akan datang, kami perlu melakukan lebih lagi dengan syarikat pengendali," katanya.

Beliau menyifatkan pengguna AS mencari sesuatu yang baharu dalam telefon pintar, menjelaskan bahawa sebahagian besar telefon pintar lain di pasaran sebagai "membosankan."

"Dalam pasaran AS, pengguna perlu produk yang lebih baik," katanya.

Pada CES, Huawei mengumumkan pelancaran telefon pintar perdananya, Mate 9 yang telah dilancarkan ke pasaran lain tahun lalu untuk pasaran AS dan pelancaran globalnya untuk rangkaian telefon pertengahan, Honor 6x.

Yu menolak kritikan mengenai hubungan Huawei dengan kerajaan Beijing, yang telah memuncak selepas laporan kongres AS.

Beliau berkata, kebimbangan begitu adalah berdasarkan "salah faham" dan kemungkinan didorong oleh "pesaing kami" yang "menggunakan perkara ini untuk melawan kami."

"Kami tidak mempunyai hubungan dengan mana-mana kerajaan," kata Yu, sambil menambah Huawei adalah "sebuah syarikat swasta yang dimiliki oleh pekerjanya."

Beliau berkata, Huawei tidak akan bekerjasama dengan kerajaan untuk mengintip pengguna kerana "jika kami lakukan sedemikian dengan satu kerajaan, kami akan mempunyai masalah dengan negara lain."

Ditanya mengenai kesan pentadbiran bakal Presiden AS, Donald Trump terhadap perniagaan Huawei, Yu berkata, "Pada pandangan saya ialah, Trump adalah seorang ahli perniagaan." - AFP

Berita Harian X