Selasa, 3 Januari 2017 | 6:01pm

Brent catat paras harga tertinggi baharu tempoh setahun

KUALA LUMPUR: Minyak mentah Brent memulakan dagangan hari pertama tahun 2017 dengan nada positif apabila merekodkan paras tertinggi sejak 20 Januari 2016 kepada AS$57.48 setong ketika ditutup dalam dagangan Asia, semalam.

Prestasi memberangsangkan harga minyak itu selaras dengan unjuran kebanyakan penganalisis yang menjangkakan harga komoditi itu berada pada paras AS$50 setong tahun ini.

Fello Penyelidik Kanan, Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Dr Zulkiply Omar, berkata institut itu menjangkakan harga minyak kekal dalam jajaran AS$50 hingga AS$60 setong tahun ini.

"Pandangan optimistik menjangkakan harga akan berada di paras menghampiri AS$60 setong. Namun, ia dijangka agak sukar untuk melepasi paras AS$60 setong kerana faktor minyak syal Amerika Syarikat (AS), " katanya kepada BH.

Beliau berkata, momentum menaik mungkin berterusan, namun apabila harga melepasi AS$60 setong, pengeluar minyak syal AS dijangka meningkatkan keluaran melebihi satu juta tong sehari.

Katanya, langkah itu akan mengimbangi pengurangan pengeluaran Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan ahli bukan OPEC.

"Peningkatan harga minyak mentah memberi kesan positif kepada Malaysia menerusi dua saluran. Pertama secara langsung melalui peningkatan nilai eksport minyak. Kedua, melalui peningkatan perdagangan dunia yang lembap kesan daripada penurunan harga minyak.

"MIER menjangkakan nilai ringgit meningkat disebabkan oleh peningkatan permintaan eksport dari Malaysia dan penurunan nilai dolar AS yang biasanya berkadar songsang dengan harga minyak," katanya.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata komitmen yang ditunjukkan oleh OPEC dan bukan OPEC bagi mengurangkan kuota pengeluaran minyak dilihat mampu menstabilkan harga komoditi itu.

"Harga minyak kekal positif awal tahun ini juga dipacu oleh pertumbuhan ekonomi global yang masih memberangsangkan iaitu sekitar 3.4 peratus. Kadar itu mampu mewujudkan permintaan terhadap minyak mentah yang berterusan, meskipun masih berhadapan situasi lebihan bekalan ketika ini," katanya.

Beliau berkata, meskipun harga minyak berada pada jajaran menaik ketika ini, trend pertambahan pelantar minyak di AS baru-baru ini serta kos pengeluaran minyak syal yang semakin kompetitif mampu memberi kekangan terhadap kenaikan berterusan harga komoditi itu.

"Pada harga minyak semasa, pengeluar minyak syal berada dalam keadaan yang menguntungkan. Ini sekali gus memberi mereka insentif untuk terus mengeluarkan minyak," katanya.

Ketua Ahli Ekonomi MIDF Amanah Investment Bank Bhd, Dr Kamaruddin Mohd Nor berkata, momentum kenaikan harga minyak dijangka kekal stabil dalam jangka pendek, sederhana dan panjang, dipacu sokongan positif dari segi pengeluaran serta permintaan.

"Perjanjian OPEC dan bukan ahli OPEC membantu melonjakkan harga minyak di pasaran. Ini kerana ia membabitkan paras simpanan minyak mentah semasa yang mempengaruhi hala tuju harga komoditi ini," katanya.

Info:

- PETRONAS turut umum pengurangan pengeluaran 20,000 tong sehari mulai tahun ini

Berita Harian X