Rabu, 21 Disember 2016 | 7:54am

IGEM 2016 jana peluang perniagaan RM2.2b

KETUA Pegawai Eksekutif Malaysian Green Technology Corporation, Ahmad Hadri Haris. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
KETUA Pegawai Eksekutif Malaysian Green Technology Corporation, Ahmad Hadri Haris. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

KUALA LUMPUR: Persidangan dan Pameran Antarabangsa Greentech dan Produk Eko Malaysia Kali Ketujuh (IGEM 2016) pada Oktober lalu, berjaya menjana peluang perniagaan bernilai RM2.2 bilion iaitu angka tertinggi sejak penganjurannya pada 2010.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Green Technology Corporation, Ahmad Hadri Haris, berkata acara empat hari itu adalah platform bagi kalangan industri menjalin pakatan strategik, berkongsi maklumat serta menyemarakkan kesedaran mengenai kepentingan pelaksanaan teknologi hijau.

"Adalah sesuatu yang menggalakkan untuk melihat syarikat mengutamakan pelaburan dalam teknologi hijau biarpun berdepan persekitaran ekonomi tidak menentu ketika ini.

"Ia hanya membuktikan komitmen rantau ini terhadap usaha menggalakkan (penggunaan) teknologi hijau," katanya kepada pemberita sebelum bermula majlis makan tengah hari bagi menghargai media di sini, hari ini.

Mengulas IGEM berikutnya, Ahmad Hadri berkata, acara dijadualkan pada 11 hingga 13 Oktober 2017, juga disasarkan mampu menjana potensi perniagaan bernilai RM2 bilion berikutan sambutan positif yang diterima sejak dua tahun lalu.

"Bagi acara tahun ini, kami bekerjasama dengan Persatuan Industri Fotovolta Malaysia dan menyediakan keseluruhan ruang pameran untuk mereka ketengahkan teknologi solar bagi menggalakkan minat terhadap teknologi hijau," katanya.

Seramai 350 pempamer dari seluruh dunia mempamerkan usaha masing-masing di 419 ruang pameran acara anjuran Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air itu.

Setakat ini, acara tahunan itu berjaya menjana peluang perniagaan bernilai RM10 bilion serta menarik lebih 330,000 penyertaan dari 50 negara termasuk China, Jerman, Jepun, Norway, United Kingdom serta Amerika Syarikat.

IGEM 2016 turut menyaksikan GreenTech Malaysia menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak, termasuk BMW Malaysia dan Petronas Dagangan Bhd membabitkan nilai kira-kira RM130 juta. - BERNAMA

Berita Harian X