Isnin, 12 Disember 2016 | 8:06pm

Harga minyak diunjur lebih AS$60 setong pada 2017

KUALA LUMPUR: Harga minyak mentah global diunjurkan mampu melonjak melebihi AS$60 setong dalam tempoh terdekat susulan persetujuan 11 pengeluar minyak bukan anggota Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) menyertai pertubuhan itu mengurangkan pengeluaran, Sabtu lalu.

Ketua Strategi Pasaran (Gulf & MENA), ForexTime (FXTM), Hussein Sayed, berkata langkah terbaharu meredakan lebihan bekalan global itu bakal menyaksikan 1.758 juta tong atau dua peratus emas hitam itu bakal berkurangan daripada pasaran.

"Ini sekali gus menjurus kepada momentum rali harga minyak dengan kebimbangan kini tertumpu kepada pengeluar minyak syal Amerika Syarikat (AS)," katanya.

Setakat petang ini, dagangan hadapan minyak global, Brent meningkat lima peratus kepada AS$57 setong buat kali pertama sejak Julai 2015 manakala WTI mengukuh ke paras AS$54 setong.

Kesan langsung kenaikan harga minyak turut dirasai Malaysia berikutan potensi peningkatan pendapatan negara daripada hasil minyak, namun penganalisis mengingatkan rakyat untuk membuat persediaan peningkatan bajet perbelanjaan bulanan.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata pengguna seharusnya bersedia sekiranya harga minyak dunia terus meningkat, walaupun terdapat kemungkinan kecil pengeluar syal AS terus menambah stok minyak global.

Katanya, kenaikan berterusan akan memberi kesan terhadap harga minyak di peringkat runcit yang diselaraskan setiap bulan bersandarkan pasaran minyak semasa, sekali gus memberi impak terhadap harga barang dan perkhidmatan.

"Justeru, kerajaan disaran mengatur semula sasaran pengurangan defisit kerana pengurangan defisit melalui subsidi yang berterusan tanpa mengambil kira keadaan semasa akan memberi kesan terhadap momentum pertumbuhan ekonomi terutama perbelanjaan swasta.

"Berdasarkan kajian empirikal mendapati kedudukan fiskal antara defisit 4.8 peratus dan lebihan 3.2 peratus masih boleh diterima dan memberi kesan positif kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

"Maka, saya berpendapat kerajaan perlu lebih perlahan dalam usaha mengurangkan defisit kerana dibimbangi memberi impak dengan kenaikan harga barang dan perkhidmatan kepada pengguna," katanya ketika dihubungi BH, semalam.

Ketua Ahli Ekonomi MIDF, Dr Kamarudin Mohd Nor, berkata pihaknya sudah menjangkakan harga minyak bakal mencecah AS$50 setong secara purata pada 2017, yang akan turut memberi kesan ke atas harga jualan minyak di pasaran tempatan.

Katanya, kesan serta julat kenaikan itu tidak akan memberi impak negatif kepada pengguna walaupun kadar inflasi dijangka meningkat, tetapi masih terkawal pada kadar 2.8 peratus untuk 2017 berbanding 2.3 peratus sasaran tahun ini.

"Keputusan OPEC dan pengeluar bukan OPEC menstabilkan harga minyak mentah di pasaran adalah langkah positif dalam memastikan harga komoditi itu berada pada paras memberi pulangan positif kepada pengeluar.

"Perkembangan ini baik untuk negara secara amnya kerana dapat meningkatkan pendapatan daripada hasil minyak dan menjamin unjuran pendapatan bagi 2017 serta cadangan pembangunan dapat dicapai," katanya.

INFO:

Brent AS$57 setong; WTI AS$54 setong.

*Russia dan 10 negara bukan OPEC setuju

- Kurangkan 558,000 tong (bpd) sehari

- Dalam tempoh enam bulan

- Bermula 1 Januari 2017

*Pengeluar minyak syal AS

- Operasi pengeluaran meningkat 498 telaga

- 21 operasi pengeluaran baharu minggu lalu

- Pertambahan terbesar sejak pertengahan 2015

Berita Harian X