Selasa, 29 November 2016 | 11:26pm

MIDA luluskan pelaburan RE RM2.07b

KUALA LUMPUR: Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) meluluskan pelaburan berjumlah RM2.07 bilion untuk projek tenaga boleh diperbaharui (RE) antara Januari hingga Ogos tahun ini.

Jumlah itu melepasi pelaburan RM1.37 bilion yang diluluskan sepanjang 2015.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif ll, Datuk N Rajendran, berkata pada 2014 pelaburan RM1.2 bilion diluluskan untuk projek yang sama.

"Syarikat Jerman bukan sahaja terus melabur di Malaysia, tetapi lebih penting, dalam projek berkualiti di samping menggunakan teknologi terkini dan aktiviti tambah nilai tinggi," katanya pada sidang media Simposium RE Pengagihan Penjanaan Tenaga, di sini hari ini.

Simposium sehari itu yang mengumpulkan penggiat industri berkaitan RE Malaysia dan Jerman, dianjurkan Dewan Perniagaan dan Industri Malaysia-Jerman.

Pengarah Eksekutif, Daniel Bernbeck, berkata syarikat RE Jerman berminat mewujudkan usaha sama dengan syarikat Malaysia untuk projek pengagihan penjanaan tenaga, terutama dalam tenaga solar, sistem hibrid dan mini hidro di luar bandar Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata, peluang untuk projek seumpama itu adalah besar berikutan kekurangan akses untuk orang ramai kepada bekalan elektrik berterusan dan perlu bergantung kepada jana kuasa diesel di samping alternatif lain seperti RE.

"Terdapat permintaan daripada industri itu untuk membekalkan elektrik ke kawasan luar bandar yang tidak mempunyai grid kerana kami tidak menjangka sambungan kepadanya dalam tempoh lima tahun akan datang," katanya.

Rajendran menggesa syarikat Malaysia merebut peluang bagi mendedahkan keupayaan dalam mendapatkan pelaburan daripada projek berpotensi RE.

"Kami menggesa syarikat Malaysia untuk bersama MIDA dan MGCC bagi meneroka ruang RE dan membentuk kerjasama dengan syarikat Jerman," katanya.

Katanya, inisiatif itu juga akan membantu MIDA mencapai sasaran 11 peratus sumbangan RE kepada campuran tenaga menjelang 2020, berbanding 0.69 peratus ketika ini.

Yang turut hadir pada simposium hari ini ialah Duta Jerman ke Malaysia, Holger Michael. - BERNAMA

Berita Harian X