Khamis, 10 November 2016 | 8:19pm

Petronas Chemicals beri kontrak polietilena RM1.38 bilion

KUALA LUMPUR: Petronas Chemicals Group Bhd (PCG) menerusi anak syarikat milik penuhnya PRPC Polymers Sdn Bhd, menganugerahkan kontrak pembinaan dan pengeluaran polietilena berketumpatan tinggi di bawah projek RAPID petrochemicals bernilai AS$328 juta (kira-kira RM1.38 bilion) kepada konsortium Itali, China dan Malaysia.

Syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia, menyatakan kontrak berkenaan meliputi kejuruteraan, pemilikan, pembinaan dan pelaksanaan (EPCC) bagi pakej 27 (Flexi HDPE).

Katanya, pakej itu membabitkan pengeluaran 400,000 tan setahun (400 KTPA) polietilena berketumpatan tinggi di RAPID Pengerang Johor.

"Konsortium berkenaan terdiri daripada Tecnimont S p A yang berpangkalan di Itali; China Huanqiu Contracting & Engineering Co Ltd, dari China; Tecnimonthqc Sdn Bhd dari Malaysia; dan Tecnimonthqc S c a r l, dari Itali," kata PCG menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Kontrak berkenaan bermula semalam dan tarikh siap dijangka pada 9 Julai 2019.

Menurut PCG, penganugerahan kontrak itu berasaskan bidaan paling berdaya saing.

"Lembaga Pengarah PCG berpendapat penganugerahan kontrak itu adalah langkah biasa perniagaan dan dibuat berdasarkan untuk memberi nilai terbaik untuk syarikat," katanya.

Berita Harian X