Khamis, 13 Oktober 2016 | 12:00pm

Harga minyak jatuh susulan peningkatan bekalan

SINGAPURA: Harga minyak jatuh semalam selepas Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) menyatakan pengeluaran meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh sekurang-kurangnya lapan tahun dan berikutan laporan peningkatan dalam stok simpanan Amerika Syarikat (AS).

Niaga hadapan minyak mentah antarabangsa Brent diniagakan pada AS$51.52 per barel pada 0103 GMT, turun 29 cent, atau 0.6 peratus, daripada penutup mereka sebelum ini.

Niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) AS turun 35 cent, atau 0.7 peratus, pada AS$49.83 setong.

Peniaga berkata, pasaran minyak berada di bawah tekanan selepas OPEC melaporkan peningkatan dalam pengeluaran, walaupun kartel pengeluar itu mempunyai rancangan, berpotensi dengan pengeluar bukan ahi OPEC, Russia untuk mengurangkan pengeluaran dalam usaha mengekang bekalan global tidak terjual.

"Minyak mentah memberi maklum balas seperti diramal, dengan Brent dan WTI jatuh," kata Jeffrey Halley, penganalisis pasaran kanan di OANDA broker di Singapura.

OPEC pada Rabu melaporkan, pengeluaran minyaknya meningkat pada bulan September ke paras tertinggi dalam tempoh sekurang-kurangnya lapan tahun, menaikkan ramalan untuk pertumbuhan bekalan bukan OPEC pada 2017, membayangkan lebihan yang lebih besar tahun depan, walaupun penawaran kumpulan itu untuk mengurangkan pengeluaran.

Kartel pengeluar itu menghasilkan 33.39 juta tong sehari (bpd) bulan lalu, menurut perangkaan OPEC yang dikumpul daripada sumber sekunder, meningkat sebanyak 220,000 bpd dari bulan Ogos. - Reuters

Berita Harian X