Khamis, 29 September 2016 | 7:42pm

PETRONAS lantik Sinopec bina gudang loji petrokimia

NAIB Presiden Kanan PETRONAS dan Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS Penapisan Minyak dan Petrokimia Corporation Sdn Bhd, Dr Colin Wong Hee Huing (empat dari kiri) bertukar dokumen dengan Pengerusi Lembaga Pengarah dan Presiden Sinopec Shanghai Engineering Co Ltd, Wu Derong. - Foto Ihsan PETRONAS
NAIB Presiden Kanan PETRONAS dan Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS Penapisan Minyak dan Petrokimia Corporation Sdn Bhd, Dr Colin Wong Hee Huing (empat dari kiri) bertukar dokumen dengan Pengerusi Lembaga Pengarah dan Presiden Sinopec Shanghai Engineering Co Ltd, Wu Derong. - Foto Ihsan PETRONAS

KUALA LUMPUR: PETRONAS melantik konsortium syarikat berpangkalan di China, Sinopec, untuk membina gudang Sistem Perolehan Semula dan Penyimpanan Automatik (ASRS) bagi loji petrokimia di Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC).

Syarikat minyak nasional itu dalam kenyataannya berkata, konsortium Sinopec itu terdiri daripada Sinopec Engineering (Group) Co Ltd, Sinopec Shanghai Engineering Co Ltd dan Sinopec Engineering Group Malaysia Sdn Bhd.

PETRONAS berkata, ia sudah memeterai perjanjian kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bagi ASRS dengan konsortium Sinopec berkenaan, di sini, hari ini.

Menerusi ASRS, ia menjadikan gudang PETRONAS sebagai kemudahan automatik pertama yang mampu memenuhi inventori penyimpanan 21 hari untuk produk polimer dalam PIC, iaitu Polypropylene (PP), Linear Low Density Polyethylene (LLDPE) dan Flexible Polyethylene (Flexi PE).

Kontrak itu turut membabitkan kemudahan lain bagi pengendalian pepejal yang berkaitan untuk gudang ASRS.

"Konsortium Sinopec menerima Surat Anugerah (LOA) daripada PRPC Utilities dan Facilities Sdn Bhd, anak syarikat PETRONAS Refinery and Petrochemical Corporation Sdn Bhd (PRPC) pada 1 Ogos lalu, dengan projek itu dijangka siap 27 bulan akan datang," kata kenyataan itu.

Majlis memeterai perjanjian berlangsung di Malaysian Petroleum Club di Menara Berkembar PETRONAS.

Pada majlis itu, PRPC Utilities and Facilities diwakili Naib Presiden Kanan PETRONAS dan Ketua Pegawai Eksekutif PRPC, Ir Dr Colin Wong Hee Huing.

Yang turut hadir, Naib Presiden PETRONAS dan Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS Chemicals Group BHd, Datuk Sazali Hamzah.

Colin dalam ucapannya berkata, segala usaha semua entiti terbabit itu adalah untuk memastikan perjanjian berkenaan dimuktamadkan dalam masa yang ditetapkan.

"Kita maju selangkah lagi ke aras merealisasikan pembangunan PIC, yang mana dijadualkan beroperasi pada suku pertama 2019," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut menggesa kontraktor memastikan standard Kesihatan, Keselamatan, Keselamatan dan Alam Sekitar (HSSE) tidak terjejas dalam apa juga keadaan.

INFO

Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC)

* Operasi penapisan pertama menjelang awal tahun 2019

* Ia menjadikan PETRONAS sebagai peserta penting dalam pasaran kimia Asia

* Menyumbang ke arah memenuhi pertambahan permintaan bagi produk petroleum serta bahan bakar spesifikasi Euro 4M dan Euro 5

Berita Harian X