Selasa, 27 September 2016 | 7:00pm

Kenapa ahli perniagaan Jerman pilih Malaysia

Pengarah Eksekutif Dewan Perniagaan Malaysia-Jerman, Daniel Bernbeck.
Pengarah Eksekutif Dewan Perniagaan Malaysia-Jerman, Daniel Bernbeck.

BERLIN: Komuniti perniagaan Jerman memuji pelbagai usaha dan insentif yang disediakan kerajaan Malaysia dalam mengembangkan pelaburan mereka di luar negara.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Schmidt + Clemen Group, Jan J Schmidt-Krayer, berkata pelepasan cukai import dan kerjasama diberi oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) mendorong syarikat itu membina kilang di Seremban.

Schmidt + Clemen yang terkenal dengan pengeluaran besi keluli mengikut spesifikasi tinggi sudah melabur RM100 juta dalam pembinaan kilang di Malaysia.

Presiden Mulhbauer Group, Josef Mulhbauer berkata, syarikat milik keluarga itu berasa Malaysia sebagai tempat yang sesuai untuk menjalankan perniagaan mereka.

Syarikat yang ditubuhkan pada 1981 itu terbabit dengan pusat sehenti bagi teknologi kad pintar, e-passport dan solar.

"Penduduk di Malaysia sama dengan masyarakat Bavaria dan ini memudahkan kami membuat keputusan melabur di Melaka.

"Kami gembira prestasi pelaburan kami Malaysia. Setakat ini, kami sudah melabur 50 juta euro dan bercadang membina kilang ketiga di Melaka," kata Mulhbauer.

COE X-FAB Silicon Foundries, Rudi De Winter melahirkan rasa puas hati dengan sokongan diterima sejak beroperasi 10 tahun di Kuching.

Katanya, insentif dalam menyediakan pekerja terlatih memudahkan syarikat itu berkembang hingga 30 peratus.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Dewan Perniagaan Malaysia-Jerman, Daniel Bernbeck berkata, banyak firma Jerman mempertimbangkan langkah memindahkan operasi di China ke Malaysia berikutan peningkatan kos di negara jiran itu.

Berita Harian X