Isnin, 26 September 2016 | 9:00am

GE akui M'sia pasaran penting di ASEAN

PENGERUSI dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GE, Jeff Immelt. - Foto Munira Abdul Ghani
PENGERUSI dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GE, Jeff Immelt. - Foto Munira Abdul Ghani

KUALA LUMPUR: General Electric (GE), konglomerat multinasional Amerika Syarikat (AS), mengakui operasinya di Malaysia menyumbang secara ketara kepada pendapatan kumpulan, sekali gus menjadi antara pasaran penting baginya di ASEAN.

Malah, syarikat gergasi perindustrian dunia itu juga yakin dengan pertumbuhan ekonomi Malaysia yang masih mampu berkembang kukuh meskipun berdepan persekitaran global yang tidak menentu.

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GE, Jeff Immelt, berkata kumpulan itu yang kini dalam transformasi menjadi peneraju digital industri global, mempunyai kehadiran ketara dalam sektor minyak dan gas serta penerbangan di negara ini.

Beliau berkata, pihaknya mempunyai pelanggan kukuh dan hebat di Malaysia serta menyifatkan hakikat ekonomi negara ini berkembang pada kadar 4.0 peratus di tengah-tengah persekitaran dunia tidak menentu, sudah memberi gambaran besar kepada rakyat serta ekonomi.

"Malaysia adalah penyumbang pendapatan yang ketara (kepada kumpulan). Kami mempunyai 1,400 pekerja di Malaysia. Kami mempunyai kehadiran besar dalam minyak dan gas.

"Kami juga besar dalam penerbangan dan mempunyai kehadiran yang kukuh," katanya pada sesi temu bual eksklusif bersama Kumpulan Media Prima Bhd di sini, minggu lalu.

Mengenai kehadiran GE di pasaran ASEAN lain, Immelt yang pernah dinobat sebagai CEO Terbaik Global sebanyak tiga kali oleh majalah kewangan terkemuka AS, Barron's menegaskan, ASEAN adalah rantau yang mencatatkan pertumbuhan kukuh buat ikon industri yang berusia 140 tahun itu.

Beliau menjelaskan, setiap bahagian dalam rantau itu amat penting bagi operasi kumpulan dan apabila digabungkan menjadi satu, rantau ASEAN menjadi satu kawasan paling dinamik serta antara terbesar di dunia.

"Kami mempunyai operasi yang baik di Singapura, Indonesia, Vietnam. Kami sedang membuka operasi di Myanmar. Thailand juga adalah wilayah yang besar bagi kami," katanya sambil menambah operasi perniagaan GE di luar AS menyumbang lebih separuh kepada pendapatan kumpulan.

Mengulas mengenai apa yang akan membentuk GE menjelang 2020, Immelt menegaskan, menjelang 2020, GE mahu menjadi 10 syarikat perisian terkemuka dunia dengan pendapatan kira-kira AS$15 bilion dalam kedua-duanya, perisian platform operasi dan teknologi terbenam dengan perisian.

"Menjelang 2020, kami mahu GE menjadi syarikat perisian 10 terkemuka di dunia. Dari segi profil pendapatan akan menjadi sama seperti hari ini iaitu lebih separuh daripada pendapatan disumbangkan dari luar AS," katanya.

INFO

* GE bermula dengan mengeluarkan lampu mentol dan kemudian berkembang menjadi pengeluar mesin besar seperti enjin pesawat dan turbin kuasa dan kini menjadi syarikat digital industri

* Beroperasi di 185 negara dan mempunyai lebih 300,000 pekerja

* Mempunyai kehadiran kukuh dalam segmen tenaga dan air; minyak dan gas; penerbangan; penjagaan kesihatan, pengangkutan dan modal

Berita Harian X