Khamis, 22 September 2016 | 7:36pm

IGEM 2016 sasar urus niaga RM1.5b

KUALA LUMPUR: Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) optimis mencatat urus niaga bernilai RM1.5 bilion menerusi Persidangan dan Pameran Teknologi Hijau dan Produk Eko Antarabangsa (IGEM 2016) pada bulan depan.

Pemangku Timbalan Menteri KeTTHA, Datuk Seri S K Devamany, berkata keyakinan itu bersandarkan kepada minat tinggi yang ditunjukkan syarikat asing terhadap teknologi hijau tempatan apabila semua 400 ruang pameran yang diperuntukkan untuk pempamer dalam dan luar negara habis ditempah.

Katanya, IGEM 2016 yang bertemakan 'Perniagaan Hijau Untuk Kemapanan' turut menyasarkan kehadiran 30,000 pengunjung dari lebih 30 negara.

"IGEM pada hari ini berubah menjadi platform inovasi dan perniagaan teknologi hijau terbesar di rantau ini dengan penyertaan pemain industri dari seluruh dunia.

"Antara kunci utama IGEM terus berjaya adalah peranannya dalam membina jaringan pasaran teknologi hijau untuk pemain industri. Daripada hanya sebagai sebuah komuniti perniagaan termasuk usahawan, pembeli dan pelabur dihubungkan kepada pemain utama seperti pegawai kerajaan, pembuat dasar dan pemimpin negara," katanya pada sidang media sempena penganjuran IGEM 2016 di sini, hari ini.

IGEM edisi ketujuh itu dibahagi kepada lima sektor antaranya Tenaga Hijau; Pengangkutan Hijau; Bangunan Hijau; Pengurusan dan Teknologi Sisa Buangan serta Pengurusan dan Teknologi Air Bersih.

Antara negara asing yang menyertai penganjuran kali ini adalah Jepun, Korea dan negara Kesatuan Eropah.

Mengulas lanjut, Devamany berkata, keunikan IGEM tahun ini adalah pengenalan Zon Tenaga Solar yang bertujuan menghubungkan teknologi, perniagaan dan pemain industri supaya menjadi peneraju kepada tenaga boleh diperbaharui.

"IGEM 2016 juga menyasarkan penyertaan generasi muda menerusi aktiviti menarik, termasuk Cabaran Belia Inovatif Teknologi Hijau dan Cabaran Minda Hijau yang dianjurkan bersama oleh Sekolah Perniagaan Asia dan Mensa Malaysia.

"Sesi ini bertujuan merangsang penyertaan mereka untuk memahami, membuat pembaharuan dan mengaplikasikan penyelesaian teknologi hijau yang boleh diguna pakai dalam menghadapi cabaran persekitaran masa kini," katanya.

Sementara itu, Devamany berkata, syarikat dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perlu memanfaatkan insentif yang disediakan oleh kerajaan dalam penggunaan teknologi hijau.

"Pemain industri perlu mengambil kira penggunaan teknologi hijau selaras dengan penghijrahan global ke arah persekitaran teknologi hijau.

"Syarikat tempatan harus mengikut perkembangan terkini. Skim insentif terhadap teknologi hijau dilihat sebagai elemen penting dalam memacu perubahan," katanya dengan menambah syarikat yang memohon insentif berkenaan perlu memenuhi rangka kerja yang sudah dirangka.

Info

* Bertempat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur

* Berlangsung selama empat hari mulai 5-8 Oktober 2016

* 5-7 Oktober terbuka untuk peniaga sahaja

* 8 Oktober terbuka untuk peniaga dan orang awam

* Untuk pendaftaran atau maklumat lanjut, layari www.igem.my

Berita Harian X