Rabu, 21 September 2016 | 10:05pm

Sime Darby Plantation lancar RAC

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby, Tan Sri Mohd Bakke Salleh.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby, Tan Sri Mohd Bakke Salleh.

KUALA LUMPUR: Pengeluar minyak sawit terbesar dunia, Sime Darby Plantation Sdn Bhd, melancarkan Piagam Pertanian Bertanggungjawab (RAC) untuk meningkatkan amalan pembangunan pertanian bertanggungjawab dan mapan.

Piagam berkenaan terpakai untuk dipatuhi semua operasi kelapa sawit syarikat itu bermula semalam, manakala pelaksanaan berperingkat kepada pengeluar dan pembekal kelapa sawit pihak ketiga serta pembekal rantaian pertanian lain pada 2020 akan dikaji semula.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby, Tan Sri Mohd Bakke Salleh, berkata piagam itu menggariskan aspirasi dan komitmen syarikat melaksanakan penambahbaikan berterusan selain.

Katanya, ia juga bagi menangani cabaran jangka panjang tanpa membahayakan penghuni bumi, antaranya membabitkan larangan penebangan hutan, tiada tanah gambut serta tiada eksploitasi.

Beliau berkata, Piagam RAC hasil prinsip asas Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) dan komitmen Sime Darby Plantation dalam tiga bidang utama, iaitu hak asasi manusia dan pembangunan sosial, alam sekitar serta integriti korporat.

"Piagam berkenaan titik permulaan baru dan persimpangan penting kemajuan industri minyak sawit lestari negara. Kami yakin pertanian bertanggungjawab penting untuk memastikan jaminan keperluan keselamatan makanan, langkah membasmi kemiskinan luar bandar selain, meningkatkan sumber kewangan kekal," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Bakke berkata, Sime Darby bercadang menyertai keahlian Kumpulan Inovasi Minyak Sawit (POIG), iaitu himpunan kolektif syarikat minyak sawit progresif dan berjenama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar serta sosial yang berusaha menolak sempadan keperluan semasa RSPO.

Sementara itu, Pengarah Kanan, Makanan dan Pasaran Pertanian Lestari NGO antarabangsa, Pemuliharaan Antarabangsa, John Buchanan berkata, pihaknya menyambut baik pelaksanaan piagam itu.

"Pemuliharaan Antarabangsa memuji penubuhan Piagam Pertanian Bertanggungjawab dan matlamat menjalankan pengeluaran mampan pencapaian bersih jejak positif di seluruh operasi kumpulan pertanian.

"Kami mengalu-alukan pelaksanaan penuh Sime Darby RAC, sekali gus menjadi contoh terbaik kepimpinan sektor pertanian yang menyediakan ilmu berharga membabitkan peranan pertanian mampan dalam mengimbangi pemuliharaan dan pembangunan," katanya.

INFO :

Piagam Pertanian Bertanggungjawab (RAC)

-Dilancarkan 21 September 2016

-Pelaksanaan membabitkan semua operasi kelapa sawit Sime Darby Plantation bermula semalam.

-Disokong NGO antarabangsa, Pemuliharaan Antarabangsa.

-Tujuan meningkatkan amalan pembangunan pertanian bertanggungjawab dan mapan.

Berita Harian X