Selasa, 13 September 2016 | 8:41pm

CAEXPO strategi promosi produk tempatan ke China

Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin (kiri) dan Khairy Jamaluddin Abu Bakar. - Foto NSTP
Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin (kiri) dan Khairy Jamaluddin Abu Bakar. - Foto NSTP

Penyertaan Malaysia dalam Ekspo China ASEAN (CAEXPO) di Nanning, China adalah sebahagian strategi untuk mempromosi produk dan perkhidmatan usahawan tempatan menembusi pasaran bandar tier kedua dan ketiga di China.

Pengarah Kanan Bahagian Perancangan Strategik Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Wan Latiff Wan Musa, berkata kuasa beli rakyat China yang tinggi perlu dimanfaatkan bagi meningkatkan nilai eksport ke negara terbabit.

"Kita melihat potensi besar bandar tier kedua dan ketiga di China seperti Nanning, Kunming, Chengdu, Zhuhai, Nanjing dan Tienjing yang semakin berkembang kuasa beli, sekali gus berpotensi dalam meningkatkan jumlah eksport Malaysia ke China.

"Pada masa sama juga hubungan dagangan dengan bandar tier pertama seperti Shanghai, Guangzhou, Shenzhen dan Beijing yang sudah lama terjalin juga tetap akan diteruskan," katanya di CAEXPO ke-13 di sini, semalam.

Platform e-dagang

Wan Latiff berkata, strategi lain yang turut ditekankan bagi meningkatkan eksport ke China ialah penerokaan pasaran menerusi platform e-dagang yang berkembang pesat.

"MATRADE menyediakan platform e-trade bagi mengajak syarikat Malaysia terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memasarkan produk mereka secara dalam talian.

"Menerusi e-trade ini kita menjalinkan kerjasama dengan platform e-dagang di China seperti Alibaba.com," katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut menjalinkan kerjasama dengan syarikat dan konglomerat perdagangan milik kerajaan China yang menunjukkan minat untuk membuat pelaburan di Malaysia terutama dalam sektor halal, eletronik dan komponen automotif.

"Kita mahu galakkan syarikat pengeluar di China buka kemudahan untuk pengeluaran produk Malaysia dan eksport ke negara lain, kerana Malaysia mempunyai kelebihan akses pasaran terutama produk halal," katanya.

Promosi segmen gaya hidup

Sementara itu Pengarah Bahagian Promosi Unit Gaya Hidup MATRADE, Abu Bakar Yusof, berkata pihaknya melihat potensi besar pemasaran produk bagi segmen gaya hidup menerusi penyertaan di CAEXPO.

"Ini kali pertama penyertaan kita bagi mempromosikan segmen gaya hidup pada ekspo ini yang turut digunakan bagi menguar-uarkan acara Minggu Fesyen Malaysia yang akan diadakan November nanti.

"Sebab utama adalah kerana kita tahu pasaran China yang besar, jadi ini menjadi peluang untuk kita menarik penyertaan dan pembeli dari China untuk datang ke acara terbabit nanti.

"Tahun lalu eksport bagi produk gaya hidup meningkat 13 peratus dan bagi separuh pertama tahun ini eksport sama mencatat peningkatan dua angka sebanyak 10 peratus," katanya.

Berita Harian X