Isnin, 1 Ogos 2016 | 9:04pm

Maybank lantik 2 pengarah baharu

Nor Hizam Hashim (kiri) dan Dr Hasnita Hashim bagi menyertai barisan lembaga pengarah Maybank.
Nor Hizam Hashim (kiri) dan Dr Hasnita Hashim bagi menyertai barisan lembaga pengarah Maybank.

MAYBANK mengumumkan pelantikan dua pengarah baharu, Nor Hizam Hashim dan Dr Hasnita Hashim bagi menyertai barisan lembaga pengarah bank itu, hari ini.

Pengerusi Maybank, Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor, berkata pelantikan itu adalah sebahagian daripada usaha bagi memastikan lembaga pengarah dilengkapi dengan pengalaman yang sesuai, pelbagai kemahiran dan kemahiran mampan.

Selain itu, katanya, ia bertujuan untuk perancangan penggantian pada masa depan.

"Ahli lembaga pengarah baharu kami akan membantu menyuntik perspektif baharu dalam membimbing pengurusan untuk terus mencipta nilai bagi semua pemegang kepentingan kami.

"Pelantikan pengarah baharu dari kalangan wanita, Hasnita juga mencerminkan komitmen kami yang kukuh untuk menyokong agenda keterangkuman dan kepelbagaian kumpulan," katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Nor Hizam, 67, adalah Pengarah Kumpulan Pengawas Pemegang Saham Minoriti (MSWG) dan beliau memiliki 30 tahun pengalaman termasuk bidang kewangan, pemasaran dan pengurusan di tiga syarikat multinasional.

Antara syarikat multinasional itu ialah di ESSO Malaysia Bhd sebagai akauntan dan penganalisis kewangan, Mamor Sdn Bhd iaitu anak syarikat Unilever Group sebagai pengawal kewangan dan Raleigh Bhd sebagai Pengurus Besar (Kewangan).

Nor Hizam turut memegang pelbagai jawatan pengurusan kanan termasuk Ketua Pegawai Operasi di Telekom Malaysia Bhd Group (TM), Ketua Pegawai Kewangan TELKOM SA Ltd, syarikat telekomunikasi terbesar di Afrika dan kemudiannya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif TM International Corporation.

Pada 2007 hingga 2011, beliau dilantik sebagai pegawai pakar kepada Unit Usahasama Awam-Swasta (UKAS) dan Unit Perancangan Ekonomi (EPU) di Jabatan Perdana Menteri, selain pernah berkhidmat sebagai pengarah dalam beberapa anak syarikat TM, TELKOM SA Ltd.

Beliau yang berkelulusan perakaunan dan ahli Institut Akauntan Malaysia (MIA) memegang Ijazah Sarjana Muda Perdagangan dari University of Western di Australia dan Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dari Universiti Malaya (UM).

Sementara itu, Hasnita, 54, adalah pengarah wanita kedua dalam Lembaga Pengarah Maybank dengan membawa 25 tahun pengalaman bersamanya berkaitan pengurusan kewangan global dalam bidang pengurusan aset, kewangan berstruktur dan pensekuritian aset.

Hasnita kini berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Guidance Investments Sdn Bhd, cabang syarikat pelaburan global, Guidance Financial Group dengan aset di bawah pengurusan kira-kira AS$1 bilion (RM4.03 bilion).

Pada 1998, Dr Hasnita mengasaskan IslamiQ, portal kewangan Islam pertama, manakala dari 1994 hingga 1998, beliau adalah Ketua Pegawai Eksekutif Commerce MGI Sdn Bhd.

Hasnita memiliki doktor falsafah (PhD) dalam bidang fizik nuklear dari Universiti Oxford, Ijazah Sarjana Muda Sains dalam bidang fizik dari Universiti Surrey dan Sekutu di Institut Aktuari, Staple Inn di London.

Berita Harian X