Jumaat, 22 Julai 2016 | 10:47am

Harga minyak global dibuka bercampur-campur

TOKYO: Niaga hadapan minyak mentah dibuka bercampur-campur dalam dagangan awal Asia hari ini selepas kejatuhan mendadak sesi sebelumnya apabila pelabur menilai semula data Amerika Syarikat (AS) yang menunjukkan berlaku pertambahan bekalan petroleum.

Sementara itu, eksport minyak mentah Iraq turut meningkat.

Minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) jatuh dua cents pada AS$44.73 satu tong menjelang 0136 GMT.

Kontraknya jatuh 2.2 peratus hari sebelumnya.

Minyak mentah Brent menokok lima cents pada AS$46.25 satu tong.

Penanda aras global itu dibuka 97 cents, atau 2.1 peratus lebih rendah semalam.

Brent dalam landasan untuk mencatatkan penurunan kira-kira tiga peratus minggu ini.

Eksport minyak Iraq dijangka meningkat bulan ini, menurut data muatan dan sumber industri, meletakkan pertumbuhan bekalan daripada pengeluar kedua terbesar Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) kembali dalam landasan selepas merosot selama dua bulan.

Iraq pada 2015 menghasilkan kenaikan kedua terbesar bekalan OPEC.

Pertumbuhannya perlahan tahun ini disebabkan masalah teknikal dan kerja penyelenggaraan.

Pegawai Iraq berkata, penggunaan domestik bermusim lebih tinggi menjejaskan jumlah minyak yang tersedia untuk eksport.

Eksport dari selatan Iraq bagi 21 hari pertama bulan ini berada pada purata 3.28 juta tong sehari (bpd), menurut data muatan yang diperhatikan Reuters dan sumber industri.

Ia meningkat berbanding 3.18 juta bpd bulan lalu.

Tahun ini, Iran menghasilkan kenaikan terbesar eksport OPEC selepas negara itu pulih daripada sekatan Barat. - Reuters

Berita Harian X