Isnin, 18 Julai 2016 | 8:49am

KWAP jangka dividen lebih rendah

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) menjangkakan pulangan lebih rendah pada tahun ini dan merancang membeli bon dengan tempoh matang 10 tahun atau lebih sebagai perlindungan daripada pemotongan kadar faedah, lapor Bloomberg.

KWAP, dana persaraan negara kedua terbesar berjumlah RM120 bilion, juga mempertimbangkan menurunkan pulangan sasaran minimum lima peratus disebabkan ekonomi dunia yang tidak menentu, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad.

"Tidak pernah sebegini sukar bagi sebuah institusi pelaburan menerima pulangan sedemikian, tetapi bagi saya ini satu perkara baru," katanya.

Bank Negara baru-baru ini menurunkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 3.00 peratus.

KWAP berkata, keuntungan dan jumlah dividen lebih rendah dijangka berterusan untuk tempoh yang panjang.

Pada 2014, KWAP melaporkan keuntungan kasar 6.15 peratus daripada pelaburannya.

"Ia mengekalkan pulangan lima peratus tahun ini kerana tumpuan terhadap cagaran tempatan dan bukan pelaburan luar negara yang memberikan keuntungan lebih rendah," katanya.

Pada 29 Jun lalu, ekoran keputusan Britain keluar daripada Kesatuan Eropah, KWAP membeli bon kerajaan 30 tahun yang memberikan pulangan hasil 4.613 peratus.

Pada 2012, ia membeli bangunan pejabat di 10 Gresham Street yang turut memuatkan Lloyds Banking Group Plc sebagai penyewa utamanya pada harga STG200 juta (RM1.04 bilion), selain kepentingan 80 peratus dalam pusat beli-belah Intu Uxbridge pada 2014 dengan harga STG174.8 juta (RM908 juta).

KWAP juga merancang menjual bangunan di Bridge Street, Sydney yang menempatkan bursa saham Australia, yang dibelinya pada 2011 dengan harga A$185 juta (RM552 juta).

KWAP menerima purata sekitar RM4 bilion setahun dalam sumbangan persaraan, kata Wan Kamaruzaman.

Ia melaporkan pendapatan pelaburan kasar RM6.47 bilion pada 2014, dengan sumbangan terbesar daripada ekuiti sebanyak 39 peratus, demikian menurut laman web rasmi badan itu.

Pinjaman dan hutang swasta menyediakan 23 peratus daripada pendapatan, manakala sekuriti kerajaan Malaysia 17 peratus. - Bloomberg

Berita Harian X