Jumaat, 15 Julai 2016 | 7:19pm

Minyak jatuh bawah paras AS$47

LONDON: Kontrak hadapan minyak mentah jatuh di bawah paras AS$47 setong petang ini berikutan lebihan bekalan minyak mentah dan produk ditapis global yang berterusan akan mengekang sebarang pemulihan harga.

Kerugian dihadkan oleh perangkaan ekonomi China yang lebih baik sedikit yang mencerminkan usaha kerajaan untuk menstabilkan pertumbuhan dan kejatuhan dalam pengeluaran domestik China.

Kontrak hadapan Brent jatuh 52 cents kepada AS$46.85 setong pada 0852 GMT. Kontrak hadapan minyak mentah AS, West Texas Intermediate (WTI) jatuh 50 cents kepada AS$45.18 setong.

Sementara kejatuhan harga dalam tempoh lebih dua tahun mendorong kejatuhan mendadak dalam pengeluaran minyak global, inventori simpanan minyak mentah kekal tinggi, terutama produk ditapis, menjejaskan pemulihan dalam harga.

Stok petrol AS dan inventori diesel Eropah meningkat dalam minggu kebelakangan ini meskipun memasuki tempoh musim panas yang lazimnya mencatatkan permintaan tinggi.

"Inventori adalah tinggi dan kita masih dalam musim yang sepatutnya mengurangkannya. Ia akan menjadi lebih teruk menjelang akhir Ogos dan September apabila inventori lazimnya meningkat," kata Ketua Strategi Komoditi ING Bank yang berpangkalan di Belanda, Hamza Khan.

Beliau mengunjurkan Brent akan berlegar pada paras purata sekitar AS$40 setong pada suku ketiga dan keempat 2016. - Reuters

Berita Harian X