Khamis, 23 Jun 2016 | 11:55am

Honda Malaysia panggil semula 147,894 kereta

 - Foto AP
- Foto AP

PETALING JAYA: Honda Malaysia hari ini memperluaskan langkah proaktif bagi menjamin keselamatan pengguna dengan memanggil semula 147,894 unit kenderaan Honda bagi menggantikan pengepam beg udara penumpang hadapan.

Model kenderaan yang terbabit dalam panggilan semula ini mengikut tahun pengeluaran adalah Accord (2003-2011), City (2009-2011), Civic (2007-2011), CR-V (2008-2011), Freed (2009-2011), Insight (2011), Jazz (2009-2011) dan Odyssey (2004-2008).

Honda Malaysia dalam kenyataannya berkata ia memberi jaminan kepada pengguna bahawa keselamatan adalah keutamaan syarikat dan kesal dengan ketidakselesaan yang berlaku.

Ia menegaskan, semua model jualan semasa tidak terjejas dan akan terus melaksanakan kawalan ketat dan telus demi menjamin keselamatan pengguna.

"Semua pengguna yang terbabit akan dimaklumkan melalui surat pemberitahuan, yang akan termasuk butiran panggilan semula itu. Pengguna yang menerima pemberitahuan dinasihatkan membawa surat dan kenderaan itu ke pusat Honda bertauliah untuk diperiksa.

"Kerja penggantian akan dilaksanakan sebaik saja alat ganti disediakan. Caj alat ganti dan buruh berhubung panggilan semula ini akan ditanggung oleh Honda Malaysia," katanya.

Pemilik Honda juga boleh memeriksa status panggilan semuka kenderaan dengan membuat panggilan ke nombor Bebas Tol Honda 1-800-88-2020, melayari www.honda.com.my atau melawat mana-mana pusat Honda bertauliah.

INFO:

Model Honda terbabit panggilan semula

Accord: 46,832 unit

City: 52,345 unit

Civic: 23,701 unit

CR-V: 15,938 unit

Freed: 2,582 unit

Insight: 5,053 unit

Jazz: 899 unit

Odyssey: 544 unit

Berita Harian X