Rabu, 15 Jun 2016 | 1:43pm

PRASARANA umum set pertama tender kerja LRT3

Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad, Datuk Azmi Abdul Aziz, (kiri) bersama Pengerusi Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad, Tan Sri Ismail Adam, (kanan) pada Majlis Penyampaian Surat Kelayakan Pakej Kerja Sistem untuk Projek LRT3 di Menara UOA, Bangsar. - Foto Azhar Ramli
Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad, Datuk Azmi Abdul Aziz, (kiri) bersama Pengerusi Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad, Tan Sri Ismail Adam, (kanan) pada Majlis Penyampaian Surat Kelayakan Pakej Kerja Sistem untuk Projek LRT3 di Menara UOA, Bangsar. - Foto Azhar Ramli

KUALA LUMPUR: PRASARANA Malaysia Bhd akan mengumumkan set pertama tender kerja awal projek Transit Aliran Ringan Laluan 3 (LRT3) Bandar Utama-Klang sepanjang 37 km, dalam tempoh dua hingga tiga bulan akan datang.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Azmi Abdul Aziz, berkata kerja-kerja projek itu meliputi persediaan tapak dan bangunan kuarters pekerja.

Ini susulan surat kelayakan yang diserahkan kepada 24 pemohon bagi pakej sistem kerja tiga akhir iaitu kutipan tambang automatik, kerja-kerja trek dan konduktor tenaga rel, selain perkakasan depot dan kenderaan penyelenggaraan trek.

Antara syarikat yang layak ialah Mitsubishi Heavy Industries Ltd-Sumitomi Corporation Consortium, Beijing Sheenline Technology Co Ltd, Alstom Transport SA, Singapore Technologies Electronics Ltd, dan IRIS Information Technology System Sdn Bhd Consortium.

"Tidak ada lagi pakej prakelayakan selepas ini. Kami akan memberi kerja untuk beberapa pakej dahulu dan diikuti pakej-pakej lain yang akan diumumkan.

"Terlalu awal untuk mengumumkannya (pakej lain) buat masa ini disebabkan kami belum memuktamadkan reka bentuk terperinci secara menyeluruh," katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan itu.

Azmi berkata, PRASARANA telah menyiapkan reka bentuk konsep dan cetakan bagi LRT3 dan sedang menyiapkan reka bentuk terperinci.

Beliau juga berkata Prasarana sudah mula mengambil alih tanah yang terlibat dalam projek berkenaan, dengan keseluruhan proses dilakukan mengikut fasa.

Sementara itu, Azmi berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, akan melancarkan projek sambungan LRT pada 30 Jun di stesen Putra Heights.

Ia akan menandakan pembukaan 13 stesen baharu untuk Laluan Kelana Jaya dan dua stesen akhir - Puchong Prima dan Puchong Perdana - bagi Laluan Sri Petaling.

Laluan Ampang hanya akan beroperasi dari stesen Ampang ke stesen Chan Sow Lin mulai 30 Jun, katanya. - BERNAMA

Berita Harian X