Khamis, 26 Mei 2016 | 10:22pm

Brent lepasi paras AS$50 buat kali pertama dalam tujuh bulan

KUALA LUMPUR: Harga minyak mentah, Brent melepasi paras AS$50 setong buat kali pertama dalam tempoh tujuh bulan semalam, dipacu kejatuhan besar dalam stok simpanan minyak mentah Amerika Syarikat (AS), sekali gus mengukuhkan jangkaan pengurangan bekalan global.

Pada jam 5 petang semalam, harga kontrak hadapan Brent bagi penghantaran Julai meningkat 31 cents kepada AS$50.05 setong, sementara kontrak minyak mentah AS, West Texas Intermediate (WTI) naik 29 cents kepada AS$49.85 setong.

Kontrak penanda aras global itu melepasi paras psikologi AS$50 pada sesi dagangan pagi dalam dagangan Asia selepas memulakan dagangan pada paras AS$49.76 setong. Belian berterusan membantu harga Brent melonjak setinggi AS$50.26 setong dalam dagangan, semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Afzanizam Abdul Rashid, berkata kenaikan harga minyak banyak berkait dengan perkembangan inventori minyak di AS serta gangguan bekalan minyak di Nigeria dan Kanada.

Bagaimanapun, katanya, perangkaan terkini pengeluaran minyak negara anggota Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) setakat April 2016 masih lagi menunjukkan peningkatan.

"Ketidakpastian prospek pertumbuhan China juga berpotensi untuk memberi kesan langsung terhadap permintaan minyak global. Justeru, amat sukar untuk mengatakan kenaikan harga minyak ini akan kekal berterusan," katanya kepada BH, hari ini.

Sementara itu, Ketua Strategi Pasaran FXTM, Hussein Sayed, berkata rali 85 peratus yang dicatatkan sejak Brent mencecah paras rendah dalam tempoh 12 tahun pada Januari lalu, disokong oleh pelbagai faktor.

Katanya, ia terutama gangguan bekalan daripada pengeksport utama dan pengurangan pengeluaran oleh pengeluar minyak syal AS.

Kejatuhan sekali ganda daripada dijangkakan dalam inventori AS menyokong peningkatan harga minyak mentah.

"Sama ada corak aliran kenaikan harga itu kekal berterusan atau suatu pembetulan yang akan berlaku masih dalam tekaan semata kerana spekulator terlalu membesar-besarkan mengenai kenaikan itu, sama seperti yang mereka lakukan baru-baru ini terhadap aliran menurun.

"Bagaimanapun, mesyuarat OPEC 2 Jun ini kekal sebagai faktor risiko utama dalam tempoh singkat kerana pasaran tidak sabar untuk mengetahui sama ada persetujuan mengenai potensi pembekuan pengeluaran minyak tercapai," katanya.

Kelmarin, Pentadbiran Maklumat Tenaga (EIA) AS melaporkan inventori minyak mentah AS jatuh 4.23 juta tong pada minggu lalu berbanding jangkaan kejatuhan 2.5 juta.

INFO

Brent

* Brent cecah paras AS$50.54 setong pada 3 November 2015

* Harga minyak jatuh di bawah AS$100 setong sejak dua tahun lalu

* Paras terendah AS$27.88 setong pada 20 Januari 2016

Berita Harian X