Isnin, 23 Mei 2016 | 1:40pm

Lebih 200,000 unit kenderaan EEV dijual tahun lalu

KUALA LUMPUR: Sebanyak 200,260 unit kenderaan cekap tenaga (EEV) dijual pada tahun lalu iaitu 34 peratus daripada jualan keseluruhan kenderaan penumpang yang berjumlah 591,298 unit.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata ia adalah peningkatan sebanyak 19 peratus berbanding tahun sebelumnya.

MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed. - Foto Abdullah Yusof
MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed. - Foto Abdullah Yusof

Sehubungan itu, katanya, adalah tidak benar bahawa kenderaan EEV tidak mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan pembeli kereta.

"Hasil usaha kerajaan memberi pengecualian duti import dan duti eksais menggalakkan semakin banyak syarikat memperkenalkan model hibrid masing-masing untuk pasaran tempatan.

"Setakat ini, sebanyak sembilan model kereta diiktiraf kerajaan sebagai EEV iaitu antaranya dari jenama PERODUA, Honda, Toyota, Mercedes, BMW, Nissan dan Renault," katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Kamarul Baharin Abbad (Telok Kemang-PKR) yang meminta bentuk galakan kerajaan terhadap pembeli kenderaan untuk menarik minat mereka membeli kenderaan EEV dan sebab kenderaan jenis ini tidak mendapat sambutan.

Mustapa berkata, kerajaan menawarkan insentif cukai untuk menarik minat rakyat membeli kenderaan EEV melalui pemberian pengecualian duti import dan duti eksais.

Katanya, melalui Dasar Automotif Negara (NAP) 2014, insentif pengecualian duti import dan duti eksais diberikan kepada kenderaan hibrid pemasangan tempatan (CKD) mulai 1 Januari 2014 hingga 31 Disember 2015.

"Insentif sama juga diberikan kepada kenderaan elektrik CKD mulai 1 Januari 2014 hingga 31 Disember 2017. Pengecualian ini dijangka dapat menarik minat rakyat kita untuk membeli kenderaan berteknologi tinggi ini pada harga berpatutan," katanya.

Berita Harian X