Selasa, 17 Mei 2016 | 3:30pm

Peningkatan produktiviti melalui program Groom Big

Ketua Pengarah MPC, Datuk Mohd Razali Hussain.
Ketua Pengarah MPC, Datuk Mohd Razali Hussain.

KUALA LUMPUR: Sebanyak 13 syarikat Bumiputera daripada pelbagai bidang di seluruh negara dianugerahkan Sijil 'Groom Big' selepas berjaya menamatkan siri program kedua anjuran usaha sama Kementerian Perdagangan Antarabangsa & Industri (MITI) dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

Ketua Pengarah MPC, Datuk Mohd Razali Hussain, berkata program berkenaan dilaksanakan menggunakan pendekatan Kerangka Kecemerlangan Perniagaan (BEF) bagi membantu meningkatkan produktiviti dan kualiti syarikat ke arah pengurusan lebih sistematik.

Katanya, usaha berkenaan juga bertujuan memperkasakan perniagaan tempatan sedia ada agar memiliki ciri tambah nilai serta dapat mengeluarkan produk yang lebih baik dan bernilai komersial.

"Hasil penyertaan daripada sektor makanan, perkilangan dan perkhidmatan ini berjaya meningkatkan kadar jualan, penghantaran produk, kepuasan pelanggan, serta kesediaan memasuki pasaran eksport.

"Selain itu, kadar kecacatan produk dan peratus pembaziran turut didapati menurun," katanya berucap pada Program Penutup Groom Big Siri 2, di sini, hari ini.

MPC turut bekerjasama dengan Institut Penyelidikan Perakaunan (ARI) Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam memberi rundingan kepada syarikat tempatan untuk memahami teknik pengurusan kewangan yang lebih berkesan.

Yang turut hadir dalam program berkenaan Pengarah Pembangunan Perniagaan Bumiputera MITI, Bahria Mohd Tamil; Timbalan Pengarah MPC, Ab Rahim Yusoff serta Pengarah Bahagian Pembangunan Kualiti dan Kecemerlangan MPC, Dr Rahmat Md Ismail.

Berita Harian X