Isnin, 25 April 2016 | 4:37pm
MALAYSIA Airports Holdings Bhd (MAHB)
MALAYSIA Airports Holdings Bhd (MAHB)

MAHB lancar pelan perniagaan lima tahun, RtS2020

Oleh Mahanum Abdul Aziz

mahanum_aziz@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) melancarkan pelan perniagaan lima tahun dikenali Runway to Success 2020 (RtS2020) dengan sasaran untuk menjadi peneraju global dalam mewujudkan Bandaraya Lapangan Terbang.

Pelan lima tahun berkenaan menyaksikan MAHB menetapkan sasaran untuk mencatatkan pendapatan RM7.5 bilion, perolehan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) sebanyak RM3.0 bilion serta mengendalikan 155 juta penumpang setahun menjelang 2020.

Pengarah Urusan MAHB, Datuk Badlisham Ghazali, berkata pelan perniagaan itu terbahagi kepada dua teras utama iaitu mengukuhkan perniagaan teras dan mengembangkan serta mempelbagaikan operasinya.

Dua teras utama itu dilaksanakan dalam empat keutamaan strategik iaitu menjadikan Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) sebagai hab pilihan utama di ASEAN, meningkatkan keseluruhan pengalaman lapangan terbang bagi semua pemegang kepentingannya, membangunkan Aeropolis dan memperluaskan kehadirannya pada peringkat antarabangsa.

"RtS2020 adalah rentetan kepada pelan perniagaan lima tahun sebelum ini. Dalam pelan perniagaan lalu, kami berjaya menjadi pengendali lapangan terbang kedua terbesar dunia.

"Kini, kami bersedia untuk menjadi peneraju dalam mewujudkan bandar raya lapangan terbang yang melangkaui pengendalian lapangan terbang sejajar dengan evolusi dan corak aliran lapangan terbang global," katanya pada pelancaran RtS2020 di sini, hari ini. Hadir sama, Pengerusi MAHB, Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah.

Badlisham berkata, RtS2020 adalah sebahagian perjalanan kumpulan pengendali lapangan terbang itu dalam memastikan prestasi perniagaannya relevan dan berdaya tahan dalam persekitaran yang semakin kompetitif.

Katanya, MAHB akan lebih proaktif mewujudkan nilai melalui perkongsian pintar dan kerjasama sinergi dengan rakan kongsi perniagaannya untuk manfaat bersama, terutama dalam pembangunan Aeropolis.

Beliau berkata, pembangunan Aeropolis dijangka menjana kira-kira RM7 bilion potensi pelaburan menerusi tiga komponen utama iaitu kargo udara dan logistik, taman perniagaan dan penerbangan serta Mesyuarat, Insentif, Persidangan, dan Acara (MICE) serta percutian.

"Maklumat lanjut mengenai pembangunan Aeropolis akan diumumkan Menteri Pengangkutan (Datuk Seri Liow Tiong Lai) pada 23 Mei ini," katanya.

Info/fakta

* MAHB akan menumpukan pelaburan strategik jangka panjang dalam aset lapangan terbang, sama ada lapangan terbang sedia ada atau baharu di pasaran baharu muncul dan negara maju

* Antara pasaran yang menjadi tumpuan MAHB ialah Asia Barat, Asia Pasifik dan Eropah

* MAHB kini mengurus dan mengendalikan 39 lapangan terbang di Malaysia dan satu lapangan terbang antarabangsa di Istanbul, Turki

* Lapangan terbang di Malaysia merangkumi lima lapangan terbang antarabangsa, 16 domestik dan 18 lapangan terbang berlepas dan pendaratan pendek

Berita Harian X